Bertindak Sekarang Tangani Perubahan Iklim, Kata Pakar Iklim UKM

05Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 17 Jun 2015 – Penggunaan tenaga secara lebih berkesan perlu dilaksanakan sekarang jika kita mahu mengurangkan kesan Pemanasan Global dan Perubahan Iklim.

Pakar kajian Klimatologi dan Oseanografi, Profesor Dr Fredolin T. Tangang  dari Pusat Pengajian Alam Sekitar dan Sumber Asli, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata pengaruh manusia terhadap iklim adalah sangat jelas.

“Tidak dapat dinafikan dan tidak dapat disangkal bahawa semakin kita mengganggu iklim, semakin banyak kita mengambil risiko kesan yang teruk, merebak dan tidak boleh diubah,” kata Prof Fredolin ketika membentangkan kertas kerjanya di Hari Diplomasi  Perubahan Iklim Eropah, ‘Perubahan Iklim: Masa untuk Bertindak Sekarang,’ di sini hari ini.

Beliau menegaskan bahawa cara untuk menghadkan perubahan iklim dan membina masa depan yang lebih makmur dan lestari telah sedia ada.

Secara lazimnya, beliau menjelaskan, cara untuk mengurangkan perubahan iklim perlu dilaksanakan sekarang kerana kaedah untuk melakukannya diketahui semua pihak.

“Sebagai contoh, kita tahu bagaimana untuk mengurangkan jejak karbon dengan menggunakan sumber tenaga yang lebih rendah karbon dan tiada karbon dan bahan-bahan tersebut semuanya ada.

“Kita perlu melindungi sinki karbon dengan mengurangkan penebangan hutan dan meningkatkan pengurusan hutan dan penanaman hutan baru,” jelasnya.

Pada masa yang sama usaha untuk menggunakan Bio-tenaga dengan Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) perlu dipertingkatkan. CCS adalah proses menangkap sisa karbon dioksida (CO2) dari sumber-sumber yang besar, seperti loji kuasa bahan api fosil, mengangkutnya ke tapak penyimpanan, dan meletakkannya dalam kawasan yang ia tidak akan masuk ke atmosfera, biasanya satu pembentukan geologi bawah tanah.

Selain itu terdapat faktor-faktor antropogenik lain seperti gaya hidup dan perubahan tingkah laku yang boleh membantu mengurangkan kesan Pemanasan Global.

“Bagaimanapun, kita tidak mempunyai banyak masa. Semakin lama, semakin kurang peluang untuk menguragkan kesan tersebut. 65% daripada bajet karbon kami yang serasi dengan pengurangan sebanyak 2 darjah Celsius kenaikan suhu telahpun digunakan,” tegas beliau.

Dalam usaha untuk mengehadkan peningkatan suhu kepada 2 darjah, penyesuaian dan pengurangan yang berterusan dalam pelepasan gas rumah hijau boleh mengurangkan risiko perubahan iklim.

“Melaksanakan pengurangan pelepasan gas rumah hijau menimbulkan cabaran teknologi, ekonomi, sosial dan institusi yang besar.

“Tetapi melambatkan pengurangan ketara akan menyukarkan usaha  mengehadkan pemanasan hingga 2 darjah,” jelas Prof Fredolin.

Beliau memberi amaran bahawa jika kita tidak bertindak sekarang, potensi impak perubahan iklim mungkin akan membawa bencana. Sudah kita melihat kekurangan makanan dan air, seperti kemarau dan kebuluran di Afrika.

“Pernah berlaku pada masa lalu kegagalan tanaman, tetapi kini ia berlaku dengan lebih kerap,” katanya.

Hasilnya ialah penghijrahan beramai-ramai , terutamanya di wilayah Sahara Afrika ke kawasan-kawasan di mana terdapat lebih banyak peluang untuk terus hidup.

“Ramai daripada pelarian iklim telah berputus asa untuk hidup di Afrika dan memilih untuk berhijrah ke Eropah, dengan apa-apa cara yang mungkin – sehingga sanggup mempertaruhkan nyawa mereka dalam Pemerdagangan Manusia,” keluh beliau.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa gerakan manusia secara besar-besaran ada kaitan rapat dengan meningkatnya kemiskinan.

Pelepasan berterusan gas rumah hijau akan menyebabkan lebih pemanasan  dan perubahan dalam sistem iklim.

Prof Fredolin berkata telah dianggarkan bahawa kenaikan paras laut pada akhir abad ke-21 akan berlaku di lebih daripada 95% daripada lautan di dunia antara 0.4 hingga 0.6 meter.

Kedutaan Eropah di seluruh dunia menyambut Hari Diplomasi Iklim Eropah hari ini untuk menonjolkan tindakan positif yang diambil di seluruh dunia melalui kerjasama dengan Kesatuan Eropah (EU) dan negara anggotanya.

Acara ini dianjurkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi UKM dengan kerjasama Delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia, Kedutaan Perancis di Malaysia, Suruhanjaya Tinggi British KL, Kedutaan Republik Persekutuan Jerman KL & Institut Goethe.

02

03