Biasiswa SKG Taja Pelajar UKM RM1.1 juta


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 6 Mei 2019 – SKG Group of Companies menerusi Biasiswa Dr. Lee Siew Keong telah menaja 44 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan biasiswa sebanyak RM1.1 juta sejak tahun 2015.

Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata, pelajar yang terpilih adalah terdiri daripada pelajar pra siswazah yang berlatarbelakangkan keluarga dari kumpulan B40 dan kurang berkemampuan sebagai kriteria utama dan syarat minima kelayakan akademik yang sangat rendah.

“Ideanya, para pelajar yang cemerlang ini mempunyai peluang yang cerah untuk memohon biasiswa. Bagi pelajar yang mungkin keputusan akademiknya hanya kurang sedikit daripada pelajar cemerlang, selalunya mereka bergantung kepada pinjaman pelajaran seperti PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional).

Tetapi, biasiswa Dr. Lee Siew Keong ini datang membantu dengan menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar ini,” katanya semasa Majlis Penganugerahan Biasiswa Dr. Lee Siew Keong (SKG Group of Companies) di Bilik Senat, Bangunan Pentadbiran, baru-baru ini.

Sementara itu, salah seorang penerima biasiswa tersebut dari Program Sains Pemakanan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Lee Kuan Yong berkata, biasiswa tersebut amat membantu dirinya untuk fokus dalam pembelajaran kerana dia tidak perlu runsing memikirkan masalah kewangan.

“Dengan menerima biasiswa tersebut, tiada sebab untuk saya tidak fokus belajar dan saya juga dapat mengaktifkan diri menyertai program kolej dan Majlis Eksekutif Pelajar (MEP),” katanya.

Seorang lagi penerima biasiswa dari Program Geografi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Nuraini Sulaiman berkata, bantuan biasiswa tersebut boleh digunakan ketika memerlukan.

“Program pengajian saya banyak melakukan projek lapangan dan melibatkan kos yang agak mahal. Jadi dengan adanya biasiswa ini, keperluan tugas tersebut dapat dilakukan,” katanya.

Tahun ini, seramai 11 pelajar UKM dari pelbagai program pengajian telah ditawarkan Biasiswa Dr. Lee Siew Keong.