Bilangan Bayi Dilahirkan Pramatang Meningkat Kerana Perubahan Gaya Hidup Semasa

090615_BabyPramatang_01A
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

Kuala Lumpur, 4 Jun 2015 – Kajian menunjukkan setiap tahun kira-kira 5 hingga 18 peratus iaitu hampir 15 juta daripada bayi yang dilahirkan di seluruh dunia adalah pramatang dan kemungkinan peratusan ini akan bertambah kerana perubahan gaya hidup masyarakat kini.

Profesor Pediatrik Neonatalogi, Hospital Tuanku Muhriz, Pusat Peruabtan Universiti Kebangsaan Malasyia (PPUKM), Prof Dr Cheah Fook Choe berkata Pendaftaran Neonatal Kebangsaan Malaysia  (MNNR) melaporkan bahawa pada tahun 2007, sejumlah 3,651 bayi yang berat badan ketika kelahiran kurang daripada 1,500 gram atau 1.7 peratus kelahiran yang hidup.

“Kita menjangkakan kelahiran bayi pramatang akan terus meningkat kerana kemungkinan kehidupan moden yang lebih terdesak dan kemajuan teknologi perubatan yang semakin canggih hingga takrifan kelahiran hidup sudah diawalkan lebih 22 minggu (iaitu 5 bulan setengah) dan boleh dirawat dengan rapi,” katanya pada Syarahan Perdana Profesor: Penyakit Paru-Paru Bayi Pramatang dan Kesan Jangkitan Dalam Rahim di PPUKM pada 29 Mei lepas.

Prof Cheah berkata antara penyumbang utama yang menyebabkan kelahiran bayi pramatang adalah usia ibu ketika mengandung yang agak melampau sama ada terlalu tua atau terlalu muda.

“Selain itu, penyakit wanita yang menyebabkan komplikasi kepada kandungan dan kehamilan yang berlaku melalui bantuan perubatan yang ada kaitan dengan kehamilan kembar,” katanya.

Beliau berkata walaupun dalam jangka masa tiga dekad kebelakangan ini negara telah maju dan berjaya menangani isu-isu kritikal berkaitan paru-paru bayi pramatang yang kekurangan surfaktan, tetapi masih belum berjaya untuk mengurangkan komplikasinya.

“Penyakit paru-paru kronik dalam kalangan bayi atau lebih dikenali sebagai bronchopulmonary dysplasia (BPD) adalah satu akibat yang mungkin berlaku terhadap bayi yang sedang pulih daripada respiratory distress syndrome (RDS) yang teruk,” katanya.

Prof Dr Cheah berkata kekerapan komplikasi itu adalah dalam lingkungan 15 hingga 50 peratus dalam kalangan bayi yang dilahirkan dengan berat badan kurang daripada 1,500 gram, namun kejadian itu boleh berubah dengan julat yang agak besar bergantung kepada pusat rawatan serta purata gestasi bayi pramatang yang diselamatkan.

“Bagi mengurangkan masalah ini, penggunaan antenatal kortikosteroid menjadi rawatan kepada wanita hamil yang melahirkan bayi awal sejak tahun 1990-an.

“Kini, rawatan ini (antenatal kortikosteroid) telah menjadi ubatan yang murah dan perlu diberikan kepada semua wanita hamil yang melahir awal kerana kesan perlindungan dan permatangan bukan sahaja kepada paru-paru bayi itu sebaliknya organ lain juga terutamanya otak,” terangnya.

Beliau menambah penggunaan ubat antenatal kortikosteriod akan meningkatkan rembesan surfaktan dalam paru-paru dan mengurangkan keperluan pengguaan surfakton luaran.

“Kedua-dua ubat ini apabila digunakan bersama akan berjaya menguatkan paru-paru dan pernafasan serta meningkatkan peratusan bayi pramatang yang boleh diselamatkan dalam dekad yang lepas di mana hampir 90 peratus bayi lahir sekitar 28 minggu dan berat 700 gram berjaya hidup,” katanya.

Beliau memberitahu bahawa di PPUKM penggunaan antenatal kortikosteroid adalah sekitar 70 hingga 80 peratus manakala statistik menunjukkan di pusat perinatal antarabangsa yang sangat maju di dunia, penggunaan antenatal kortikosteroid hampir mencecah 100 peratus.

“PPUKM boleh menambah baik keadaan  ini untuk mencapai penggunaan yang lebih tinggi tetapi kekangan yang dihadapi adalah wanita hamil yang lahir awal melengahkan masa untuk berjumpa doktor perbidanan sebaik sahaja petanda kelahiran awal wujud,” jelasnya.

Prof Dr Cheah berkata untuk efikasi antenatal kortikosteroid yang maksima, rawatan perlu diberikan sekurang-kurangnya 24 jam sebelum bayi itu dilahirkan.

“Malah penggunaan surfaktan luaran boleh dikurangkan jika rawatan antenatal kortikosteroid yang optima dinaikkan,” katanya.

Katanya kadar penyakit bayi pramatang kronik BPD di NICU PPUKM agak rendah iaitu kurang dari 10 peratus.

“Analisis kadar menunjukkan faktor keprihatinan diamalkan di Pusat Perubatan ini termasuklah penggunaan surfaktan luaran yang awal dan liberal, rawatan bantuan nafas CPAP (Continuous Positive Airway Pressure) dan kurangkan oksigen secara agresif dan kawalan jangkitan kuman serta penggunaan terapi nutrisi intrarena yang padat,” katanya.

Prof Dr Cheah menerangkan bahawa wanita yang melahir bayi awal adalah disebabkan oleh kesan dari jangkitan rahim dimana jangkitan kuman dan proses keradangan memulakan rembesan hormon dan perantara lain yang berupaya mencetuskan proses kontraksi rahim untuk sakit melahir mahupun pecah selaput ketuban sebelum masa.

“Bayi lahir awal mungkin menandakan situasi yang mendesak dimana persekitaran dalam rahim tidak sesuai lagi untuk janin terus hidup kerana jangkitan kuman yang sudah berkembang berlipat ganda yang amat berbahaya,” ujarnya.

Beliau berkata kajian menunjukkan bahawa bisa dari kuman (endotoxin) berupaya mematangkan paru-paru janin untuk pernafasan yang menyediakannya untuk keluar awal supaya masih ada lagi peluang untuk janin itu hidup di luar dan keluar dari rahim yang dijangkiti kuman.

“Teori ini disokong dengan pemerhatian klinikal dimana bayi lahir pramatang yang menunjukkan kesan jangkitan kuman dalam rahim melalui petanda keradangan uri adalah hampir 50 peratus kurang menghidap penyakit RDS kurang surfaktan sejenak selepas lahir.

“Namun bagi bayi-bayi ini, mereka masih mempunyai risiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit kronik BPD akibat calar dan parut luka dari keradangan disebabkan oleh jangkitan kuman semasa janin,” katanya.

Beliau menasihatkan kepada semua wanita hamil supaya mendapatkan jagaan antenatal, mengenali petanda kelahiran awal, tidak berlengah untuk berjumpa doktor supaya cukup masa diperlukan untuk ubat antenatal kortikosteriod mujarab diberikan untuk perlindungan dan membantu perkembangan paru-paru janin.

090615_BabyPramatang_02A