Bilangan Pelajar Antarabangsa Di Malaysia Naik 100% Menjelang 2020 – PM

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 21 September 2015 – Bilangan pelajar antarabangsa dalam universiti tempatan, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dijangka meningkat kepada 200,000 orang, atau 100 peratus kenaikan   menjelang tahun 2020.

Sebanyak RM19 bilion dianggarkan dapat dijana untuk ekonomi negara menurut unjuran tersebut, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Unjuran tersebut.

Menjelang akhir tahun 2015, dijangka 110,000 pelajar dari negara-negara lain akan memasuki institusi tempatan, kata Datuk Seri Najib dalam ucapan beliau yang disampaikan oleh oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh pada Majlis Anugerah Akademik Negara Ke-9 di sini malam ini.

 “Dianggarkan setiap pelajar antarabangsa akan membayar yuran pengajian dan berbelanja sebanyak RM46,000 setahun, manakala bagi yang sudah berumah tangga dan membawa keluarga dijangka berbelanja sebanyak RM88,000 setahun.

“Bagi mengira impak ekonomi kehadiran pelajar antarabangsa, kita memberi gandaan sehingga 1.4 (anggaran Australia) dan 2.1 (anggaran Jabatan Statistik Malaysia) terhadap perbelanjaan langsung yang dilakukan oleh setiap pelajar,” beliau menerangkan.

Najib berkata, di samping menarik pelajar antarabangsa ke Malaysia, kerajaan turut menubuhkan Universiti Penyelidikan (RU) untuk memacu penyelidikan akademik, sekali gus menempatkan kelima-lima RU tempatan di kedudukan universiti terbaik di dunia.

Menurut Perdana Menteri, dalam usaha itu Kementerian Pendidikan Tinggi sewajarnya menggunakan kepakaran tokoh akademik negara sebagai aset penting dengan memanfaatkan kelebihan 3P iaitu pembimbing, penggerak dan pemangkin.

Pada majlis tersebut, Presiden Persatuan Saintis Minyak dan Pakar Teknologi Malaysia, Prof. Emiritus Tan Sri Dr. Augustine Ong Soon Hock dari Universiti Sains Malaysia (USM) diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara Ke-9 tahun 2015.

Beliau yang memberi banyak sumbangan kepada penyelidikan minyak kelapa sawit, mendapat pengiktirafan anugerah berprestij dengan hadiah  wang tunai sebanyak RM200,000 berserta trofi dan sijil yang disampaikan oleh Idris.

Beliau merupakan Felo Kanan Akademi Sains Malaysia, Royal Society of Chemistry London, Third World Academy of Sciences dan Felo King’s College London.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ir. Dr Zaini Ujang.

 “Semoga penganugerahan ini akan menjadi pemangkin kepada budaya akademik yang cemerlang di negara ini serta menjadikan Malaysia sebagai sumber rujukan pendidikan bagi rantau Asia dan global,” kata Idris.ukmnewsportal-bm

2

3

4