Buku Panduan Pengurusan PALAPES Dilancar


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 6 Mac 2020 – Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) telah melancarkan buku Panduan Pengurusan PALAPES yang merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu PALAPES Darat, PALAPES Laut dan PALAPES Udara untuk semua universiti yang mempunyai pasukan PALAPES.

Buku panduan tersebut adalah bagi menyeragamkan pengurusan pasukan PALAPES yang berpandukan kepada kehendak dan keperluan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain bagi memudahkan pengurusan dan pentadbiran universiti-universiti yang terlibat.

Buku panduan itu telah diserahkan kepada wakil Kementerian Pengajian Tinggi, ATM dan universiti yang berkenaan.

Pelancaran buku tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Hasagaya Abdullah. Turut hadir ialah Pengerusi Majlis PALAPES Universiti Awam Malaysia, Timbalan Kolonel Prof Ts Dr Zaliman Sauli.

PALAPES yang telah diperkenalkan sejak 41 tahun lepas di universiti-universiti awam telah berjaya membentuk siswa dan siswi mencapai tahap kematangan yang mengikut acuan kementerian di samping menjunjung dasar kerajaan melalui dasar pertahanan menyeluruh.