Buku Persekutuan Malaysia 1961-1966 Dilancar

1
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Gambar oleh Abdul Raai Osman

BANGI, 27 September 2016 – Buku berjudul Persekutuan Malaysia 1961-1966 Penubuhan dan Cabaran yang ditulis oleh Pengarah Muzium Warisan Akademik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohamad Shamsudin telah dilancarkan di Shah Alam, baru-baru ini.

Buku tersebut telah menjelaskan tentang pembentukan Malaysia yang merupakan idea daripada para pemimpin tempatan di Tanah Melayu dan mendapat persetujuan serta kata sepakat daripada Sabah dan Sarawak.

Dr Mohamad berkata karya tersebut ditulis bagi mengkaji semula penulisan tentang sejarah Malaysia supaya ia tidak diekploitasi.

Tambahnya, buku itu menjawab dan menerangkan pelbagai isu berkaitan peruntukan yang membawa Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.

“Saya telah menemubual beberapa tokoh yang terlibat untuk mendapatkan maklumat yang lebih jelas dan tepat tentang penubuhan Malaysia,” katanya.

Beliau, yang juga adalah Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik & Strategi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), berkata buku yang dihasilkan itu akan memberi maklumat yang lebih jelas dan berupaya untuk menjadi bahan rujukan kepada golongan muda supaya mereka tidak keliru dengan sejarah Malaysia.

Sementara itu, Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir, yang melancarkan buku tersebut berkata tidak ramai penulis Malaysia yang menulis mengenai tajuk penubuhan Malaysia.

Sebaliknya, kata beliau, penulisan tajuk tersebut dikuasai oleh penulis luar yang sering memberikan tafsiran yang tidak tepat mengenai tokoh dan peristiwa yang sebenarnya berlaku.

Beliau turut memuji usaha Dr Mohamad untuk menjelaskan tentang peristiwa penubuhan Malaysia dari sudut pandangan tempatan.ukmnewsportal-bm

2

3