Cacat Fizikal Tidak Menghalang Bergelar Doktor Falsafah


Oleh Siti Lailatul Mastura
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 2 November 2019 – Status Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak menjadi penghalang bagi seorang anak muda untuk menggapai cita-cita yang diimpikannya.

Mohd Khairi Ismail, penerima Ijazah Doktor Falsafah Alam Sekitar dan Pembangunan pada Majlis Konvokesyen Universti Kebangsaan Malaysia ke-47 tidak pernah kesal dengan kekurangan diri.

Bergelar OKU bukanlah sesuatu yang mudah bagi beliau kerana beliau perlu sentiasa berusaha lebih untuk duduk sebaris dengan orang lain.

Bagaimanapun, beliau tidak pernah menjadikan kekurangan yang ada pada dirinya sebagai halangan, malah menjadikan kekurangan itu sebagai pembakar semangat untuk berusaha lebih kuat.

Dalam kesibukan beliau sebagai pelajar pascasiswazah, beliau juga turut menyumbang bakti pensyarah jemputan bidang ekonomi di beberapa buah kolej universiti, antaranya Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK).

Sepanjang tempoh empat tahun pengajian, beliau telah menerbitkan 30 artikel dan satu tesis PhD.

“Saya dibesarkan dalam keluarga sederhana dengan purata pendapatan bapa saya adalah RM700 sebulan. Jadi, untuk mengubah hidup keluarga, saya perlu ubah diri saya dulu.

“Saya perlu belajar bersungguh-sungguh dan tidak menjadikan kekurangan diri sebagai alasan, sebaliknya menjadikan kekurangan sebagai kekuatan saya untuk berjaya,” katanya yang memegang Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Sarjana Ekonomi, UKM.

Beliau berkata, persekitaran UKM yang kondusif menjadi salah satu faktor yang membawa kejayaan kepada beliau.

“Sejujurnya, persekitaran di UKM turut banyak membantu golongan OKU menimba ilmu di sini. Kami (OKU) juga mempunyai persatuan yang aktif yang sentiasa berbincang dalam meningkatkan fasiliti untuk memberi keselesaan kepada golongan OKU,” katanya.

Bercerita tentang rahsia kejayaan, beliau sentiasa meletakkan ibu bapa sebagai keutamaan apabila melakukan sesuatu.

“Setiap apa yang saya buat dan saya ceburi, saya akan buat dengan bersungguh-sungguh demi membanggakan ibu dan bapa saya.

“Bila kita buat sesuatu demi mak ayah, susah macam mana pun perkara itu, kita mesti boleh buat,” katanya.