Cadangan Tubuh Pihak Berkuasa Awasi Lembangan Sungai

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 15 Jun 2016 – Malaysia memerlukan satu pihak berkuasa untuk melindungi lembangan sungai supaya pembangunan lestari dapat dilaksanakan tanpa kerosakan alam sekitar, kata Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar.

Beliau menegaskan bahawa kejadian banjir kilat yang semakin kerap, sepertimana yang berlaku pada Lembangan Sungai Langat, menunjukkan bahawa undang-undang mengenai perlindungan alam sekitar perlu  dikuatkuasakan dengan tegas.

“Pembangunan sumber air, sungai, pengurusan banjir dan projek analisis dasar memerlukan pendekatan pelbagai disiplin,” katanya ketika merasmikan kursus latihan mengenai perlindungan alam sekitar bagi pensyarah undang-undang rantau Asia Pasifik, di Putrajaya pada 10 Mei lalu.

Beliau menegaskan bahawa semua undang-undang yang diperlukan sudah pun diwujudkan, tetapi penguatkuasaan kurang memuaskan.

Timbalan Naib Canselor menyeru usaha bersepadu untuk melindungi kawasan tadahan air, kerana sungai-sungai di Malaysia memainkan peranan penting dalam pemuliharaan, pertanian dan bekalan air yang boleh diminum tetapi  menghadapi ancaman daripada pembangunan pesat dalam sektor industri dan pembandaran.

“Di Malaysia, terdapat beberapa agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan yang terlibat dalam menguruskan sungai.

“Pengurusan sumber air secara bersepadu dan holistik bagi lembangan sungai akan membawa kepada penyelesaian kepada beberapa masalah utama yang dihadapi dengan pengurusan air di lembangan sungai,” jelas beliau pada program latihan yang dianjurkan oleh UKM dan Bank Pembangunan Asia ( ADB).

Beliau berkata, banyak negara, termasuk Malaysia, bimbang tentang keselamatan air dalam jangka masa panjang.

Pada masa yang sama, beliau berkata, semua orang mahukan berkalan air yang mencukupi tetapi mengeluh apabila terdapat banjir.

Sementara itu, Fakulti Undang-undang di UKM menjalankan program itu yang digelar ‘Training-the-Trainers’ (TTT)  yang mana pensyarah undang-undang dikehendaki memperkenalkan unsur-unsur pembangunan lestari alam sekitar kepada pelajar-pelajar mereka selepas menamatkan kursus lima hari tersebut.

Bercakap kepada Portal Berita UKM, Pengarah program Dr Hanim Kamaruddin berkata UKM merupakan institusi pertama di rantau Asia Pasifik menjadi tuan rumah program ini.

Dr Hanim berkata di Fakulti Undang-undang, undang-undang alam sekitar ditawarkan kepada pelajar-pelajar prasiswazah, manakala undang-undang alam sekitar seperti Undang-undang Alam Sekitar Antarabangsa, Undang-undang Laut dan Undang-undang Warisan ditawarkan di peringkat pasca siswazah ijazah.

Mengenai program latihan tersebut, beliau melahirkan harapan ia akan meningkatkan keupayaan profesor dan pensyarah di universiti dan kolej di negara-negara anggota ADB dalam undang-undang alam sekitar.

Beliau menjelaskan bahawa program TTT adalah dalam bentuk demonstrasi kurikulum kursus dan menumpu kepada pelbagai kaedah pengajaran yang amat sesuai dengan konteks undang-undang alam sekitar.

Program ini dilaksanakan oleh Pejabat Ketua Peguam Program Keadilan dan Pembangunan ADB.ukmnewsportal-bm
2

3