Cara Baru Fakulti Pergigian Ajar Pembentukan Gigi

Dentistry Faculty’s New Way To Teach Teeth Sculpting1Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 24 Februari 2015 – Pelajar pergigian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan dapat belajar bagaimana membentuk dan mereka gigi palsu dengan menggunakan perisian komputer yang membolehkan pengajaran secara interaktif dengan memaparkan animasi tiga dimensi.

Dr Nor Atika Mohd Ashar dari Fakulti Pergigian, seorang anggota suatu pasukan yang sedang membangunkan perisian itu, berkata tujuan asasnya adalah untuk membangunkan suatu kaedah untuk pelajar pergigian tahun pertama memahami pembentukan gigi selain daripada mempelajarinya dari buku teks dan melalui kuliah.

Dr Nor Atika memberitahu Portal Berita UKM semasa menghadiri Karnival K-Novasi Pengajaran dan Pembelajaran di sini baru-baru ini bahawa kaedah pengajaran demikian perlu diwujudkan di fakulti kerana perisian khas yang di import adalah terlalu mahal.

Beliau dan timbalan dekan Fakulti Pergigian Dr Dalia Abdullah dan ketua Jabatan Ortodontik Dr Alizae Marny Fadzlin Syed Mohamed telah mengusahakannya setelah menerima geran RM30,000 dari kerajaan dua tahun lalu.

Tanpa modul yang dipanggil ‘Kursus Morfologi Gigi’, satu-satunya cara untuk mengajarnya adalah melalui carta dan buku teks yang hanya boleh menunjukkan rajah dua dimensi.

Beliau berkata adalah sukar untuk mengajar pelajar secara konvensional mengenai selok belok rumit untuk pembentukan gigi.

Perisian itu terdiri daripada panduan langkah demi langkah yang menunjukkan cara membentuk gigi dengan menggunakan lilin pergigian. Pelajar boleh mengikuti modul secara dalam talian itu pada kadar pembelajaran dan pemahaman mereka sendiri.

Ia adalah satu kaedah pembelajaran interaktif di mana pelajar boleh menilai kefahaman dan kemajuan mereka dengan menjawab soalan secara dalam talian dan mendapat maklum balas di bengkel.

Walaupun usaha itu menghadapi sedikit masalah untuk menjana imej 3D dalam talian, Dr Nor Atika yakin akhirnya mereka akan boleh mendapatkan pakar grafik komputer untuk mengatasinya tidak lama lagi.

Perisian itu merangkumi semua butiran yang terdapat dalam buku-buku rujukan dan kuliah bagi membolehkan pelajar merujuk kembali kepadanya setelah melalui pelajaran mereka. Modul itu perlu disahkan oleh badan akreditasi pergigian antarabangsa.

Beliau berharap pembelajaran gaya interaktif demikian akan lebih memuaskan untuk pelajar yang menggunakannya.

Fakulti berharap dapat melaksanakan kaedah itu setelah menerima maklum balas daripada semua pihak – termasuk pelajar – bagi membolehkan mereka membaikinya secara berterusan.

Jika berjaya, mereka berharap untuk menerbit dan memasarkan kaedah itu untuk universiti lain termasuk universiti tempatan.

Fakulti mahu kursus itu dilakukan secara talian sahaja bagi mengawasi penggunaannya dan mencegah percubaan menciplaknya.
ukmnewsportal-bm