COVID-19: Bantuan Alumni Tanda Keprihatinan


Berita dan Foto oleh Pusat Perhubungan Alumni

BANGI, 23 Jun 2020 – Jentera alumni sangat diperlukan oleh universiti khususnya dalam keadaan kritikal seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlaku ketika wabak COVID-19 melanda negara.

Sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, alumni UKM sentiasa memberi sumbangan seperti memberi bantuan keperluan asas dan kesihatan serta bantuan kewangan kepada pelajar yang berada di kampus. Pada tempoh ini, alumni yang menjawat jawatan tinggi dalam sektor kerajaan atau swasta turun membantu pihak universiti meringankan beban pelajar.

Selain bantuan kepada pelajar di kampus, alumni turut menyediakan kelengkapan pelindungan peribadi (PPE) kepada barisan hadapan negara bagi mengekang penularan COVID-19. Lebih daripada 4,000 PPE telah dihasilkan melalui dana dan sumbangan alumni, dan diagihkan kepada hospital-hospital yang mengendalikan kes COVID-19 termasuklah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM.

Antara bantuan yang diterima ialah daripada Kelab Bekas Mahasiswa Cina (KBMC) UKM bersama MCA Youth dan LCW Foundation yang memberikan sumbangan hand sanitizers, makanan biskut, mi, minuman kepada Kelab Mahasiswa UKM (KMUKM) untuk diagihkan kepada pelajar. Pejabat Perhubungan Alumni (PPA) juga turut menyediakan tabung untuk membolehkan para alumni menyumbang yang seterusnya digunakan untuk menyediakan keperluan kepada pelajar yang berada di kampus. Selain dari itu, persatuan dan kelab juga mengambil peranan untuk mengumpulkan dana dan membantu pihak universiti meringankan beban pelajar di kampus.

 Turut terlibat Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) bersama KBMC UKM menyumbangkan 11,000 unit topeng muka kepada HCTM, manakala kerjasama PPA dengan syarikat alumni pula telah menyumbang sebanyak 1,888 PPE.

Alumni UKM tidak hanya berbakti kepada barisan hadapan HCTM sahaja, tetapi bantuan turut disalurkan ke Hospital Kuala Krai, Kelantan. Dengan kerjasama alumni dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina dan juga Yayasan Al-Khalifah, sebanyak 350 PPE, 100 topeng muka dan empat unit intubasi telah diberikan kepada tersebut.

Disamping itu, kerjasama antara PPA dengan Kolej Vokasional Tanah Merah (Alumni UKM Kelantan) telah menghasilkan 100 pasang PPE lengkap untuk disumbangkan kepada Hospital Pasir Puteh Kelantan. Alumni menyumbangkan kain manakala kerja menjahit dilakukan oleh kakitangan dan pelajar Kolej Vokasional Tanah Merah.

Manakala projek bersama Pertubuhan Medical Mythbusters Malaysia (3M) telah melibatkan alumni UKM untuk menjahit PPE dengan kain yang disumbangkan oleh pelbagai pihak untuk membantu petugas barisan hadapan. Sebanyak 350 PPE telah berjaya disumbangkan dan diberikan kepada KKM, yang seterusnya di agihkan kepada hospital dan klinik kesihatan.

Hospital Besar Melaka juga turut menerima sumbangan sebanyak 1,660 PPE daripada alumni UKM. Projek ini telah digerakkan oleh alumni Fakulti Teknologi Sains dan Maklumat, alumni Fakulti Perubatan yang telah mengumpul dana untuk menghasilkan PPE.

Seramai 40 pelajar yang menjalani latihan industri dan terperangkap disebabkan oleh PKP turut diberi sumbang melalui tabung kebajikan Alumni-UKM.