COVID-19 Bukan Halangan meneruskan P&P Atas Talian


Oleh Aini Hidayah Abdul Hadi
Gambar Izwan Azman

BANGI, 10 Jun 2020 – Kesediaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam melengkapkan pelajarnya menggunakan platform kuliah maya adalah langkah baik apabila dunia tiba-tiba dilanda pandemik COVID-19, bermula hujung tahun 2019.

Naib Canselor, Prof Dato’ Ir Dr Mohd. Hamdi Abd Shukor  berkata, UKM telah melancarkan sebuah platform baharu iaitu UKMFolio untuk mahasiswa menjalani kelas atas talian sebelum berlakunya krisis COVID-19.

“UKM sudah menyediakan infrastruktur baharu iaitu UKMFolio yang dicipta berdasarkan Moodle yang merupakan sebuah platform untuk pengajaran dan pembelajaran bagi memudahkan pelajar dan pensyarah untuk menghantar dan menerima tugasan,” katanya.

Beliau berkata, meskipun menyediakan infrastruktur yang terbaik, namun masih ada segelintir mahasiswa yang mempunyai kesukaran untuk mencapai internet, terutamanya mahasiswa yang berada di kawasan terpencil.

“Hampir 10 peratus (%) mahasiswa mempunyai masalah untuk mencapai internet kerana kedudukan mereka yang berada di kawasan luar bandar,” kata beliau.

Bagi menangani masalah ini, beliau memaklumkan bahawa UKM sedia menghulurkan bantuan kepada mahasiswa yang mempunyai masalah capaian internet dan fokus UKM adalah pada golongan B40.

“Selepas bulan Jun, UKM akan menyediakan wang data internet sebanyak RM30 kepada mahasiswa, khususnya mahasiswa dari golongan B40 selama enam bulan atau sepanjang berlangsungnya pengajaran dan pembelajaran atas talian,” katanya.

Katanya, ini adalah satu inisiatif dari pihak universiti dalam membantu mahasiswa untuk mendapatkan data internet bagi meneruskan kelas atas talian yang telah berlangsung sejak 27 April yang lalu.

Malah, pada awal bulan Mei lepas, pihak universiti dengan kerjasama syarikat telco YTL telah mengedarkan dan memberi data internet secara percuma sebanyak 40 GB kepada semua pelajar UKM sehingga hujung Jun ini.