Daesh Sasar Wanita Asia Tenggara Jadi Pejuang Perang


Oleh Iznee Isa
Foto Ikhwan Hashim

Bangi, 5 September 2017- Daesh atau lebih dikenali sebagai ISIS (Islamic State of Iraq and Syria) telah mencetuskan fenomena baru dalam dunia hari ini dan ancaman gerakan militan ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh, kata Pensyarah Kanan Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam UKM, Dr Wan Fariza Alyati Wan Zakaria.

Beliau menjelaskan bahawa Daesh bijak memanipulasi golongan wanita sama ada melatih mereka sebagai pengebom berani mati atau pejuang, atau sebagai tawanan rampasan perang yang dipromosikan sebagai tawaran menarik kepada golongan pejuang lelaki dalam bentuk ganjaran seks.

“Penglibatan golongan wanita dalam kumpulan ini memberi kesan yang sangat besar untuk jangka masa panjang kerana mereka yang akan melahirkan pewaris generasi dan menyemai ideologi ISIS kedalam jiwa dan minda anak-anak sekali gus menambah bilangan pengikut kumpulan militan itu.

“Wanita di Asia Tenggara jadi sasaran Daesh untuk menjadi pejuang perang kerana penduduk Islam di situ lebih ramai berbanding di Barat. Isu ini turut menjadi rumit apabila mereka menggunakan justifikasi agama sebagai sandaran dan rujukan perbuatan tersebut,” katanya.

Katanya, menurut Majlis Fatwa Kebangsaan, kecenderungan umat Islam untuk berjihad dan mati syahid atas nama ISIS (Daesh) di Syria berpunca daripada kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar mengikut hukum syarak.

“Daesh mahu merealisasikan visi mereka untuk menghapuskan penindasan Barat di Syria dan Iraq tetapi bentuk perjuangan yang mereka gunakan cukup kejam dan melanggar hukum Islam,” tambahnya.

Media sosial seperti YouTube, Facebook dan Twitter menjadi wadah utama bagi menyebarkan propaganda dan maklumat aktiviti kumpulan itu.

Daesh turut melancarkan majalah rasmi mereka berjudul Al-Fatih dalam Bahasa Melayu dan Dabiq dalam bahasa Inggeris yang juga bertujuan menyebarkan propaganda sesat mereka kepada masyarakat dengan membicarakan soal jihad dan peperangan.

“Tiada manusia yang terkecuali daripada dosa, maka siapa yang tidak mahu jika diberi peluang pengampunan malah dijanjikan balasan syurga?” soal Dr Wan Fariza di majlis Siri Wacana Tun Fatimah Hashim bertajuk Daesh, Jihad dan Wanita: Sensasi dan Manipulasi atas Nama Agama.

Beliau menerangkan bahawa begitulah antara jerat yang digunakan Daesh bagi mempengaruhi wanita supaya melihat ini sebagai jalan mudah untuk berjuang dan mendapatkan balasan syurga.

Menurut beliau, ilmu tentang perkara itu perlu diterapkan seawal mungkin oleh ibu bapa di rumah dan di dalam kurikulum sekolah supaya anak-anak memahami tentang ajaran Islam yang sebenar.

“Pada pandangan saya, kerajaan turut perlu menetapkan kawalan ketat terhadap pengaksesan media-media sosial yang berkaitan dengan Daesh bagi menghalang penyebaran ideologi sesat mereka,” jelas beliau.

Setakat ini, proses pencegahan awal amat ditekankan dan proses pemuliharaan turut dilakukan ke atas mereka yang telah didapati bersalah dengan menahan mereka dan menyediakan modul atau kelas pemulihan di penjara.