Dari Seorang Doktor Gigi, Dr Irma Kini Usahawan Berjaya

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 20 Mac 2018 – Dr Irma Shida Abu Samah, merupakan alumni Fakulti Pergigian Universiti Kebangsaan Malaysia kini boleh tersenyum lebar kerana telah bergelar seorang usahawan berjaya.

Beliau yang mengusahakan klinik pergigian bersama suaminya bukan sahaja menumpukan perniagaan dalam bidang pergigian malah turut mempunyai produk kecantikan sendiri.

“Saya minat bidang kecantikan. Saya suka make up. Jadi, saya kumpul ilmu macam mana nak buka perniagaan skin care,” katanya semasa menyampaikan syarahan pada Program Kuliah Umum Kursus Asas Keusahawanan dan Inovasi anjuran Pusat CITRA UKM, baru-baru ini.

Beliau berkata sebagai seorang insan, kita perlu bercita-cita tinggi.

“Kenapa saya buka perniagaan sedangkan saya langsung tidak ada pengalaman dan ilmu dalam perniagaan? Ini semua kerana saya mempunyai impian. Saya perlu sentiasa bercita-cita tinggi untuk capai apa yang saya nak.

“Buat kerja yang anda minat. Kalau saya stress saya akan tulis lirik, saya akan buat melodi dan saya akan fikir apa lagi produk skin care yang boleh saya buat. Ini cara saya tangani tekanan,” katanya.

Beliau berkata dalam perniagaan sudah tentu ada jatuh dan bangun. Beliau tidak lari dari masalah tersebut.

“Bukan hanya dalam perniagaan penjagaan kulit, malah perniagaan klinik gigi juga ada pasang surutnya.

“Pemasaran adalah sangat penting. Anda perlu tahu di mana tempat yang sesuai untuk anda jalankan perniagaan,” katanya.

Katanya, kejayaannya dalam bidang perniagaan terutamanya dalam pergigian adalah didorong oleh neneknya.

“Inspirasi saya adalah arwah nenek saya. Dia yang jadi penggerak saya untuk saya jadi orang berjaya terutamanya menjadi doktor gigi,” ujarnya.

Selain dari memiliki Klinik Pergigian Irma Ariandi dan pusat kecantikan Dr Irma Skincare & Cosmetics di Johor, beliau turut mempunyai syarikat rakaman iaitu Dr Irma Entertainment.

Beliau juga aktif menghasilkan lagu seperti Destinasi Cinta yang dinyanyikan oleh artis terkenal Ferhad, dan lagu Bidadari yang dinyanyikan oleh Zarol Zarif.

Beliau bersyukur kerana suaminya sentiasa ada untuk menguruskan hal ehwal klinik jika beliau sibuk dengan perihal produk kecantikan dan syarikat rakaman.

Dr Irma juga telah menerima beberapa anugerah keusahawanan peringkat negeri Johor dan kebangsaan dan itu telah membantu beliau untuk lebih bersemangat mengharungi dunia perniagaan.