Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah diangkat Sebagai Alumni Tersohor 2019


Oleh Asmahanim Amir
Foto dari Facebook Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

BANGI, 6 Julai 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganugerahkan Alumni Tersohor 2019 kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sempena Majlis Anugerah Sanjungan Kencana Fakulti Perubatan 2020.

Anugerahkan itu diberikan atas sumbangan besar beliau dalam bidang perubatan.

Dalam penulisannya di Facebook miliknya baru-baru ini, Datuk Dr Noor Hisham telah merakankan ucapan terima kasih kepada UKM terutamanya Fakulti Perubatan UKM kerana mengangkat nama beliau sebagai Alumni Tersohor Tahun 2019.

“Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada komitmen dan dedikasi kesemua tenaga pendidik di Fakulti Perubatan UKM dan satu manifestasi kecemerlangan petugas kesihatan di mana sahaja mereka berada. Mereka adalah insan-insan istimewa yang komited, produktif, inovatif dan sentiasa berusaha untuk memberikan khidmat terbaik kepada Rakyat melangkaui ekspektasi,” katanya.

Beliau berkata kecemerlangan perkhidmatan kesihatan negara adalah hasil kerjasama berpasukan setiap individu di mana setiap sumbangan walau sekecil mana pun, adalah rentetan ke arah hasil impak kesihatan yang tinggi, kos yang berpatutan dan kepuasan pelanggan yang memuaskan.

“Terima kasih kepada semua warga kerja perkhidmatan kesihatan yang masih berkhidmat, mahupun yang telah bersara. Mereka sentiasa melaksanakan tugas dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan penuh dedikasi dan integriti,” ujarnya.