Debat Mantapkan Penguasaan Bahasa Melayu Bakal Ahli Undang-Undang – Hakim Mahkamah Persekutuan

debatketuahakim1

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 6 Okt 2015 – Pertandingan Debat Bahasa Melayu Piala Ketua Hakim Negara merupakan satu platform terbaik kepada bakal pengamal undang-undang dalam memantapkan penguasaan Bahasa Melayu ketika memberi hujahan.

Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia, Tan Sri Ahmad Maarop berkata pertandingan debat itu dapat membantu bakal graduan dan pengamal undang-undang di Malaysia lebih bersedia dan mantap dalam melaksanakan tanggungjawab dalam bidang guaman.

“Badan kehakiman menyokong penuh aktiviti berunsurkan ilmiah seperti pertandingan debat ini. Seperti yang diketahui pertandingan ini juga telah dilakukan dalam Bahasa Melayu dan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Kebangsaan 1963/1967 telah menerangkan tentang kegunaan Bahasa Melayu dalam pengamalan undang-undang.

“Oleh itu, kemahiran menggunakan bahasa ini amatlah penting dan sangat diperlukan dalam setiap diri bakal pengamal undang-undang di Malaysia selain daripada kemahiran menulis. Sebagai bakal peneraju institusi keadilan negara, saya berharap anda semua belajar bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang yang berjaya,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Pertandingan Akhir Debat Bahasa Melayu Piala Ketua Hakim Negara 2015 dengan tema Undang-Undang dan Masyarakat, di sini pada 2 Oktober lalu.

Beliau berharap agar generasi muda dapat mempersiapkan diri dengan ilmu dan iman dalam mengharungi cabaran hari-hari yang mendatang kerana keadaan negara sekarang ini sangat mencabar.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dr Imran Ho Abdullah mengesyorkan supaya pertandingan debat itu diperluaskan kepada universiti swasta.

“Kita sedia maklum bahawa pertandingan debat ini hanya melibatkan universiti awam sahaja dan untuk kali ini hanya empat universiti sahaja yang mengambil bahagian iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan UKM sebagai tuan rumah.

“Mengikut plan pendidikan Malaysia, seharusnya berlaku keharmonian antara universiti awam dan universiti swasta. Mungkin pertandingan debat ini merupakan satu kaedah yang boleh diperluaskan untuk menegakkan keharmonian antara universiti awam dan swasta,” katanya.

Beliau juga memberitahu bahawa tema yang digunakan untuk pertandingan debat itu menjadi tunjang perdebatan kerana ia selari dengan tuntutan semasa yang memerlukan pelajar-pelajar yang holistik dan peka kepada keperluan atau isu-isu semasa.

Peringkat akhir pertandingan tersebut telah menemukan para pembahas dari UiTM sekalu kerajaan dan UM selaku pembangkang dengan usul Hak Asasi Manusia: Undang-Undang Malaysia Sudah Memadai dan usul tersebut ditolak oleh para juri.

Muhammad Haziq Jamaludin dari UiTM telah diangkat sebagai Pendebat Terbaik.

Turut hadir pada pertandingan itu ialah Hakim Mahkamah Rayuan, Dato’ Aziah Ali yang bertindak selaku ketua juri.
ukmnewsportal-bm

debatketuahakim2

debatketuahakim3