Doktor Nasihati Lakukan Saringan Alahan Awal

4

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 12 April 2016 – Orang ramai perlu melakukan pemeriksaan jika mereka khuatir mengalami alahan atau alergi, kata Pakar Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Prof Madya Dr Mohd Razif Mohamad Yunus.

Beliau menasihatkan mereka menjalani ujian saringan yang dikenali sebagai ujian alahan cucuk kulit yang boleh dilakukan di setiap hospital.

Dr Mohd Razif, yang merupakan Ketua Jabatan Otorinolaringologi di Hospital Tuanku Canselor Muhriz (HCTM), berkata mereka yang sering bersin, mempunyai masalah mata berair, kerengsaan dan kesesakan hidung berkemungkinan besar mempunyai alahan.

“Alahan adalah penyakit yang tidak diketahui puncanya melainkan dikesan melalui ujian saringan.

“Pesakit yang dikenal pasti boleh menerima penjagaan yang betul untuk mengurangkan risiko alahan yang teruk,” katanya pada sidang akhbar sempena Hari Alergi Dunia 2016, di sini hari ini.

Menurutnya, rawatan lambat boleh mengakibatkan komplikasi yang serius seperti jangkitan otak dan buta.

Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Dekan Fakulti Perubatan Hospital UKM Prof. Dr. Ima Nirwana Soelaiman dan Ketua Unit Rhinology di Jabatan Otorinolaringologi  HCTM Prof Madya Dr. Salina Husain.

Dr. Salina menyatakan bahawa alergi rinitis, juga dikenali sebagai alahan hidung adalah perkara biasa di kalangan orang dewasa dan juga kanak-kanak di negara ini.

Menurut beliau, mereka yang mengalami alahan mengalami kualiti hidup merosot, kurang tumpuan di tempat kerja dan pembelajaran serta sukar tidur.

ukmnewsportal-bm
3