Donald Trump Lakukan Jenayah Besar


Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 29 Dis 2017 – Presiden Amerika Syarikat (US), Donald Trump telah melakukan jenayah besar apabila mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Timbalan Penasihat Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir berkata tindakan Trump itu telah melanggar undang-undang antarabangsa kerana tidak menghormati keputusan Majlis Keselamatan berkenaan kedudukan Baitulmaqdis.

“Beliau (Trump)  juga tidak memandang undang-undang antarabangsa yang menyatakan bahawa Baitulmaqdis tidak boleh diperlakukan secara unilateral, tetapi secara bersama-sama dengan pihak berkepentingan.

“Satu-satunya syarat pendamaian adalah Baitulmaqdis mesti menjadi ibu negara Kota Palestin,” katanya selepas Bicara Persada ke-41 bertajuk ‘Trump VS Dunia: BaitulMaqdis (Jerusalem) Milik Siapa?’ di sini baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan seorang Juri Perundangan Antarabangsa atau Opinion Juris yang mewakili Malaysia berkata pertubuhan itu kini sedang merangka draf bagi mengisytihar Trump melakukan jenayah perang.

“Draf berkenaan dijangka akan diserahkan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun hadapan supaya tindakan sewajarnya dapat dilakukan terhadap Presiden US tersebut,” katanya.

Prof Madya Dr Salawati berkata Trump dengan jelas telah melanggar empat undang-undang dan resolusi yang telah diluluskan PBB berhubung status Baitulmaqdis.

“Saya harap seluruh negara dunia terutamanya negara-negara Islam bersama-sama menentang tindakan Trump tersebut,” katanya.

Forum yang dikendalikan oleh Pengacara TV, Wan Kamarudin Wan Ibrahim turut dibarisi oleh tiga lagi ahli panel iaitu Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Pembangunan, Pusat Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Mohd Roslan Mohd Nor, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Dr Azmul Fahmi Kamaruzaman dan Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut.