Dr. Aizan Sofia Bukti Kekurangan adalah Kelebihan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Siti Suraya Sulaiman

BANGI, 24 Mei 2019 – Mengalamai kecacatan pada usia 16 tahun sangat menguji ketabahan dan kekuatan Dr Aizan Sofia Amin, yang pada ketika itu didiagnosis menghidap kanser tulang sehingga kaki kirinya terpaksa dipotong.

Menceritakan kesusahannya pada ketika itu, Dr Aizan Sofia berkata, walaupun fizikalnya tidak sempurna, namun kecekalan jiwanya dan semangat serta dorongan yang diberikan oleh ahli keluarganya tidak pernah putus.

Berkat kesungguhannya yang tidak mudah mengalah dan doa-doa yang dititipkan, beliau berjaya melanjutkan pengajian ke Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang psikologi.

Walaupun pernah disisihkan oleh rakan-rakan ketika di zaman universitinya, perkara itu tidak melunturkan semangat Dr. Aizan Sofia untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Psikologi 2007 pada peringkat ijazah sarjana muda.

Kejayaan beliau bukan setakat itu sahaja. Selepas menamatkan pengajian Sarjana Muda, beliau meneruskan pengajian Sarjananya di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan seterusnya ke peringkat doktor falsafah dengan kajian tentang disabilities (ketidakupayaan) di Universiti Glasgow, Scotland.

Dr. Aizan Sofia tidak pernah menjadikan kekurangan diri sebagai penghalang untuk beliau berbakti kepada masyarakat. Buktinya, selain menyebarkan ilmu kepada anak bangsa, beliau juga bergiat aktif dalam aktiviti kesukarelawanan bersama Islamic Relief Malaysia (IRM) sehingga diangkat menjadi Ikon Kemanusiaan IRM.

“Kalau saya tak menyumbang kepada masyarakat, saya rasa diri ini tiada harga dan tidak berguna.

“Saya mahu orang tengok OKU (orang kurang upaya) macam saya pun dapat jadi sukarelawan, supaya mereka pun terinspirasi melakukan perkara sama,” ujarnya.

Selain itu, beliau juga telah menerima beberapa anugerah termasuklah Finalist Study UK Alumni Awards 2017 (Social Impact Category), British Council Malaysia 2017, Woman Icon Recognition, Global Youth Ambassador Team 2017 dan terbaru Anugerah Tokoh Pekerja (OKU) Negara 2019 bersempena dengan Sambutan Hari Pekerja 2019 yang disampaikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, cabaran stigma daripada masyarakat yang memandang rendah dengan keupayaan dirinya sejak beliau belajar sehingga sekarang masih lagi ada, tetapi itulah yang membakar semangat beliau untuk membuktikan bahawa beliau boleh berdaya saing dengan orang lain.

“Saya harap tak ada lagi OKU lain yang menangis disebabkan oleh kata-kata nista masyarakat kepada mereka.

“Saya mahu OKU dilihat bukan sebagai golongan yang tertindas, dipinggirkan, sebaliknya satu kumpulan insan yang berupaya dalam masyarakat. Saya mahu bakat mereka (OKU) dicungkil, bukan dibiarkan begitu sahaja,” katanya.