Dua Alumni UKM Dilantik Hakim Wanita Pertama Mahkamah Tinggi Syariah

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Fakulti Pengajian Islam, UKM

BANGI, 1 Julai 2016 – Dua alumni Fakulti Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mencipta sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Selangor dan Malaysia.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan watikah perlantikan kepada Noor Huda Roslan, 40, dan Nenney Shuhaidah Shamsuddin, 41, kedua-duanya dari Banting, di  Istana Bukit Kayangan baru-baru ini.

Majlis tersebut juga menyaksikan tujuh wanita dilantik sebagai hakim Mahkamah Rendah Syariah, empat pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah dan empat penolong pendaftar Mahkamah Rendah Syariah.

Ketua Hakim Syariah Selangor, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata pelantikan itu mencerminkan keprihatinan Sultan terhadap pengurusan cekap sistem keadilan Islam di Selangor.

“Walau bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa pelantikan hakim wanita bukan isu jantina, sebaliknya ia dibuat berdasarkan kewajaran,” katanya.

Beliau menganggap perlantikan ini memajukan lagi sistem keadilan Syariah negeri dengan melantik kakitangan berdasarkan keupayaan.

Sementara itu, Nenney Shuhaidah berikrar untuk melakukan yang terbaik untuk menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Noor Huda, pula berkata pelantikan ini jelas menunjukkan bahawa ada keyakinan dalam kalangan wanita menjalankan tugas-tugas penting yang sebelum ini hanya dilakukan oleh lelaki.

“Gender bukan menjadi ukuran tetapi keupayaan lelaki dan wanita. Insya-Allah, kita akan cuba untuk memberikan yang terbaik dan bersikap profesional ketika mengendalikan kes,” katanya.

Beliau dan Nenney Shuhaidah melahirkan harapan bahawa lebih ramai wanita di negeri lain akan diberikan peluang untuk menjadi hakim Syariah.

Noor Huda adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah, Kepujian) dari UKM pada tahun 1999 dan Ijazah Sarjana dalam Pengajian Antarabangsa dan Undang-undang Perbandingan, School of Oriental and African Studies, University of London pada tahun 2011.

Nenney Shuhaidah juga berkelulusan Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah Wal Qanun, Kepujian) dari UKM pada tahun 1998 dan Ijazah Sarjana Psikologi (Kaunseling) di universiti yang sama pada tahun 2001.ukmnewsportal-bm