Dua Beradik Bangga Kongsi Pentas Kejayaan Bersama

Oleh Inaara Aznan
Foto oleh Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 13 November 2018 – Berkongsi pentas kejayaan yang sama dalam Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-46 menjadi saat paling membanggakan bagi pasangan adik-beradik Nor Mazni Abdullah, 28, dan Nur Amrina Abdullah, 26.

Mereka yang memperoeh Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan tidak menjadikan kesibukan kerja sebagai penghalang untuk melakar kejayaan.

Nor Mazni berkata sepanjang tempoh pengajian, beliau sentiasa belajar bersama adiknya.

“Kami akan menghabiskan masa di perpustakaan selepas tamat kelas. Memandangkan Nur Amrina bukanlah dari kursus perniagaan semasa pengajian Ijazah Sarjana Muda, jadi kami perlu memberi tumpuan yang lebih. Saya akan bantu dia jika ada yang dia tidak faham,” kata Nor Mazni yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.56.

Beliau berkata dengan tekad dan sokongan yang tidak pernah putus dari keluarga, mereka dapat menamatkan pengajian dengan cemerlang.

Nur Amrina yang memperoleh PNGK 3.65 berkata beliau menyahut cabaran kakaknya melanjutkan pengajian dalam bidang perniagaan.

“Alhamdulillah, kakak banyak membantu sepanjang pengajian kami. Walaupun perniagaan bukanlah bidang saya sebelum ini, tetapi berkat belajar bersama-sama, saya berjaya buktikan dengan kejayaan ini,” ujarnya.

Nor Mazni kini bekerja sebagai Pembantu Pengurus di Bank Muamalat, Kuala Lumpur manakala Nor Amrina adalah Pegawai Sains di Institut Meteorologi Malaysia, Petaling Jaya.

Sementara itu, pasangan adik beradik Muhd Aizuddin Saharuddin, 34, dan Muhd Dhiyauddin, 30, turut meraikan kejayaan bersama pada majlis konvokesyen tersebut.

Muhd Aizuddin berkata beliau pernah melalui saat-saat sukar apabila diberhentikan daripada meneruskan pengajian kerana keputusan peperiksaannya tidak mencapai tahap kelulusan.

“Saya memang kecewa dengan keputusan itu. Saya membuat rayuan untuk meneruskan pengajian. Alhamdulillah, rayuan saya diterima dan saya mulakan tekad baru untuk mencapai kejayaan,” katanya yang memperoleh Ijazah Sarjana Pentadbiran Pendidikan.

Adiknya, Muhd Dhiyauddin yang memperoleh Ijazah Sarjana Pengurusan Pentadbiran Perniagaan pula berkata beliau akan belajar selepas menidurkan anaknya pada waktu malam dan membuat ulangkaji satu topik untuk satu subjek pada waktu Subuh.

“Pengurusan masa adalah sangat penting. Memandangkan saya sudah bekerluarga dan bekerja, saya perlu pandai membahagikan masa dengan baik agar keluarga tidak terabai, dan pelajaran berjalan lancar,” katanya.