Dua Pensyarah UKM Terpilih Ikuti Program CEO@Faculty 2.0


Oleh Asmahanim Amir

Foto oleh Pusat komunikasi Korporat

KUALA LUMPUR – Dua pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Emma Mirza Wati Mohamad dan Dr.Mohd Helmi Ali telah terpilih untuk melalui suatu program khas anjuran Kementerian Pengajian Tinggi, CEO@Faculty 2.0.

Program tersebut mensasarkan pensyarah universiti yang berumur bawah 40 tahun, yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (PhD), dan asas dalam menjalinkan kerjasama dengan industri.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata program CEO@Faculty adalah program yang memperlihatkan CEO yang secara sukarela menerima tugas untuk melatih para pensyarah muda universiti untuk menjadi pemimpin, dengan slogan ‘Coached by the PRO’.

“Inisiatif ini diperkenalkan pada bulan April 2017 apabila calon yang terpilih diletakkan di pejabat ‘CEO’ masing-masing.

“Pensyarah-pensyarah tersebut telah melalui suatu program khas selama enam bulan untuk menguasai budaya korporat dalam menguruskan syarikat profil tinggi,” katanya pada Majlis CEO@Faculty Appreciation Night 2017, di Pusat Konvnsyen Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata program CEO@Faculty  menyatukan CEO dan pemain industri terkemuka bersama universiti di Malaysia untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan pelajar dan komuniti universiti.

“Saya memberitahu Naib Canselor bahawa pada masa akan datang, 40 peratus daripada kuliah sepatutnya dikendalikan oleh pihak industri.

“Ahli akademik dan industri adalah satu. Mari kita bekerja bersama untuk reka bentuk semula kurikulum dan mengubah kemahiran pelajar dan kuliah. Dalam era Industri 4.0, kunci kejayaan adalah untuk bekerjasama,” katanya.