Dua Reka Cipta Untuk Orang Yang Kudung Tangan

FKAB Students Assist School To Help The DisabledOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI, 28 Januari 2015 – Nasib orang kurang upaya (OKU) mendapat perhatian apabila alat khas penggelek muka surat buku dan lengan tangan palsu direka cipta bersama oleh Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan sekumpulan pelajar tingkatan empat di Kuala Lumpur.

Dua ciptaan tersebut hasil empat pelajar tingkatan 4 Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur dan program Crystal@ukm dipamerkan di sini sempena perayaan ulang tahun ke 30 FKAB baru-baru ini.

Alat ‘Page Turner’ buku dicipta bagi OKU yang gemar membaca buku atau majalah tetapi tidak mampu menukar muka surat kerana cacat atau kudung tangan. Halaman atau muka surat boleh dialihkan dengan penggelek berkuasa bateri.

Si pembaca boleh membaca berterusan sambil menekan suis yang di sambung pada kaki supaya muka surat dapat di gelek ke hadapan atau ke belakang.

Seorang dari pelajar Sek Men Teknik yang menganggotai kumpulan pereka N. Sureinrajah berkata alat tersebut adalah alternatif kepada beberapa jenis peranti yang dipasarkan dengan harga tinggi.

Namun demikian Sureinrajah menambah bahawa ia masih perlu diperbaiki lagi untuk diubahsuaikan kepada penggunaan OKU yang lain.

Alat lengan tangan palsu pula, dicipta khas bagi mereka yang kudung tangan. Ia diperbuat daripada plastik dan dawai yang digerakkan kuasa motor elektrik  supaya tangan dan jari boleh menggenggam dan mengangkat benda ringan.

Pergerakan dan genggaman tangan dikawal oleh suis yang dilekat dekat bahu atau ketiak orang yang memakai lengan palsu tersebut.

Ketua program crystal@ukm Prof Madya Dr Hafizah Husain berkata kedua-dua projek untuk OKU masih perlu diuji sebelum permohonan dibuat bagi mendaftar sebagai Hak Cipta.

Dr Hafizah berkata setiap projek crystal@ukm dibimbing oleh tiga mahasiswa tahun ketiga FKAB dan diketuai oleh seorang pensyarah.

Menurut beliau  crystal@ukm diperkenalkan pada tahun 2009 sebagai usaha sama FKAB dengan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, bertujuan untuk melatih mahasiswa UKM menjadi mentor kepada pelajar-pelajar sekolah menengah dengan melengkapkan mereka dengan kemahiran mengajar dan memimpin anak didik mereka dalam menghasilkan projek-projek berasaskan cip mikro pengawal.

Cip mikro pengawal yang digunakan bagi projek tersebut, merupakan cip yang mudah untuk diprogramkan menggunakan komputer dan mempunyai kapasiti untuk mengautomasikan pelbagai tugas. Dengan menyambungkan cip mikro pengawal ke sesuatu alat perumahan atau elektronik, pelbagai penyelesaian kepada masalah harian dapat ditangani.

Program yang telah berjalan selama 4 tahun ini memberi penekanan kepada bengkel amali dan aktiviti praktikal bagi menerapkan kemahiran yang diperlukan oleh pelajar-pelajar sekolah menengah dan mentor mereka untuk menghasilkan peranti-peranti yang berguna. Sesi-sesi bengkel telah dikendalikan mengikut jadual (diantara 2 hingga 3 bulan) selama 2 hingga 3 hari pada setiap satu tempoh masa.
ukmnewsportal-bm