Fahami Hak Bermasyarakat Untuk Elak Tragedi Berulang


Oleh: Muhammad Zaim Badrul Hisham
Foto: Pusat Komunikasi Korporat UKM

BANGI, 1 Oktober 2017 – Tragedi kebakaran tahfiz yang melibatkan ramai nyawa terkorban terjadi kerana terdapat individu yang tidak memahami tanggungjawab dan hak bermasyarakat, kata Setiausaha Agong Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dato’ Dr. Ma’amor Osman.

Beliau berkata tragedi ini harus dilihat dari perspektif tanggungjawab bersama dan tidak perlu menunding jari kepada sesiapa.

“Isu ini sebenarnya betul-betul memanggil kita untuk duduk, sama ada pihak kerajaan, pihak swasta, ibu bapa, pengusaha dan semua kerana natijah akhirnya adalah kita mahu wariskan negara kita ini kepada golongan-golongan budiman,” ujarnya dalam forum Bicara Persada ke-39 yang bertajuk Tragedi Keramat: Merungkai Pertanggungjawaban.

Beliau juga turut mencadangkan agar diselaraskan kesemua institusi tahfiz dari segi kurikulum, latihan, gaji guru dan aspek keselamatan bagi membangunkan institusi penting umat Islam di negara ini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia, Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim berkata kerajaan bercadangan meneliti semula Akta 550 dan dibawa ke parlimen untuk dipinda bagi membolehkan kerajaan persekutuan memeriksa sekolah-sekolah tahfiz diseluruh negara.

“Dalam Akta 550 menyebut institusi pendidikan ertinya semua jenis tempat pendidikan kecuali tempat pengajian agama semata-mata, maka menyebabkan institusi tahfiz tidak tertakluk dan boleh dibuka sesuka hati,” jelasnya.

Menurut Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita UKM, Prof. Dr. Norizan Abdul Razak antara punca masalah dalam masyarakat  berlaku adalah kerana desakan ekonomi dan cara terbaik menyelesaikannya adalah dengan memberi pendidikan.

“Hasil dapatan kajian UKM mendapati untuk mengeluarkan golongan berpendapatan rendah (B40) adalah dengan memberi pendidikan yang baik kepada anak-anak mereka.

“Apabila seorang sahaja mendapat pendidikan yang baik, satu keluarganya dapat dikeluarkan dari lingkungan B40,” katanya.

Turut bersama sebagai ahli panel adalah Presiden Persatuan Institusi Tahfiz Quran Negeri Selangor (PINTA), Ustaz Maulana Mohd Dailami Che Age dan moderator pula adalah Penerbit Eksekutif Astro Awani, Saudara Nazri Kahar.