Fakulti Kejuruteraan Harus Sesuaikan Diri Dengan Perubahan

Call For Engineering Faculty To Adapt To ChangesOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim dan Izwan Azman

BANGI, 22 Januari 2015 – Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) perlu menyesuaikan diri dengan teknologi terkini serta keadaan yang berubah di kalangan pelajar generasi baru.

Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Dato’ Dr Mohamad Zawawi Ismail berkata fakulti itu perlu maju ke hadapan tanpa di kongkong dengan idea yang dilaksanakan semasa beliau menjadi perintis memperjuangkan penubuhannya 35 tahun lalu.

Berucap merasmikan sambutan ulang tahun ke-30 FKAB di sini hari ini beliau berkata dunia kini amat berbeza dari keadaan lampau dan perbedaan itu akan lebih ketara lagi di masa akan datang.

Oleh sebab itu FKAB perlu menjadi lebih imaginatif untuk menyediakan pelajarnya menghadapi keadaan yang berubah-ubah demikian itu.

“Kita tidak boleh lagi bersikap konservatif. Fakulti perlu memanfaatkan alat dan kemudahan baru (seperti media sosial),” kata Prof Zawawi, seorang jurutera dan pernah menjadi dekan FKAB.

Beliau berkata UKM juga perlu merintis jalan dalam usaha memperkenalkan perubahan, terutama dalam bidang kejuruteraan.

Beliau berkata konsep privasi pelajar sekarang amat berbeza dari masa lampau. “Ketika saya masih seorang akademik dan menganggotai Rangkaian Bersepadu Penyelidikan Lanjutan (Jaring), universiti berpegang teguh kepada dasar privasi. “Tetapi sekarang generasi muda mudah berkongsi pengalaman mereka. Dengan itu kita juga perlu berfikir demikian dan Fakulti perlu melaksanakan perubahan,” kata Prof Zawawi.

Beliau sebelum ini adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan pernah menyandang jawatan Timbalan Naib Canselor di UKM.

Prof Zawawi menerangkan bahawa beliau, masih ingat terdapat tentangan hebat terhadap cadangan ahli akademik kejuruteraan termasuk beliau memperjuangkan penubuhan sebuah fakulti kejuruteraan di UKM pada awal tahun 1980-an.

Fakulti itu kemudiannya ditubuhkan dengan kumpulan mahasiswa kejuruteraan pertama diterima pada tahun 1985 dan fakulti itu terus maju sejak itu.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Dekan FKAB Prof Datuk Ir Dr Abdul Wahab Mohammad turut hadir di upacara sambutan itu.

Suatu memorandum persefahaman (MoU) juga telah ditandatangani antara UKM dan Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) untuk melaksanakan penyelidikan bersama, berkongsi data serta bekerjasama untuk menganjurkan seminar dan bengkel.

Prof Noor Azlan menandatanganinya bagi pihak UKM manakala Presiden IEM Datuk Ir Lim Chong Hock telah mewakili badan kejuruteraan itu.

Di upacara sama bekas Dekan FKAB Prof Emeritus Datuk Ir Dr Zainul Abidin Mohd Shariff pula telah melancarkan tiga buah buku mengenai pembangunan kajian kejuruteraan di UKM dan juga dalam negara.
ukmnewsportal-bm