Fakulti Sains Kesihatan Terajui 3R di UKM

01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 8 Mac 2016 – Fakulti Sains Kesihatan (FSK) muncul fakulti pertama di Universiti Kebangsaan Malaysia yang melaksanakan pengasingan sisa pepejal dan penguatkuasaan 3R, iaitu  Kurangkan (Reduce), Guna Semula (Reuse) dan Kitar Semula (Recycle) untuk pembangunan lestari.

SWCorp, sebuah badan berkanun dibawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, membekalkan tong-tong untuk membuang sisa pepejal di FSK dengan setiap tong ditandakan dengan kod warna mengikut jenis bahan yang dibuang; biru untuk kertas, jingga untuk plastik dan coklat bagi kaca.

Dekan FSK Prof Dr Baharudin Hj Omar berkata semua kakitangan dan pelajar perlu membudayakan amalan mengasingkan sisa pepejal supaya bahan-bahan itu mudah untuk dikitarkan semula oleh SWCorp.

“Di negara kita, hanya 10.5% sisa pepejal di kitar semula, dan ini menjadi semakin buruk kerana Malaysia semakin kurang kawasan pelupusan sampah, hinggakan ada tempat pembuangan sampah menjadi kawasan perumahan,”  kata Prof Baharudin selepas melancarkan buku Bahaya Tapak Pelupusan Sisa Pepejal oleh Dr Anuar Ithnin, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan FSK.

Beliau menerangkan lebih 40% sampah berasal dari sisa makanan dan apabila dibuang bersama sisa pepejal lain, akan menghasilkan gas-gas pelupusan sampah seperti Methane dan Karbon Dioksida yang boleh menjejaskan kesihatan.

“Kita perlu jimatkan makanan yang masih banyak dibazirkan, kerana sisa makanan yang dibuang bercampur dengan sisa-sisa pepejal yang lain menyebabkan ia sukar untuk dirawat sebagai kompos,” kata Prof Baharudin.

Menurut beliau kitaran semula sisa pepejal diwajibkan untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejak bulan September lalu, walaupun Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Terengganu masih belum guna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal 2015.

Dr Anuar, pula berkata buku beliau adalah mengenai kajian terhadap beberapa bekas tapak pelupusan sampah di Lembah Klang yang kini menjadi kawasan perumahan , seperti Taman Medan, Taman Dato’ Harun dan Taman Semarak di  mana para penduduk mengadu jatuh sakit kerana menghidu gas yang keluar dari tanah.

Beliau berharap semua negeri dapat laksanakan Akta Pengurusan Sisa pepejal menjelang bulan Jun kerana amalan pengasingan sisa makanan di premis perlu dipupuk dan dijadikan budaya di kalangan masyarakat.ukmnewsportal-bm
02

03