Forum eSport Medium Kongsi Maklumat Sukan Digital Baharu


Oleh Inaara Aznan
Foto oleh Shahiddan Saidi

BANGI, 19 November 2018 – Forum E-Sports-Unleashing the Potential for Malaysia’s Future yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru bertujuan untuk berkongsi maklumat dan pengetahuan berkenaan sukan digital baharu yang semakin mendapat perhatian di negara ini.

Dalam forum tersebut, para hadirin yang terdiri daripada pelajar-pelajar dan pemain eSport UKM telah berkongsi maklumat melalui sesi soal jawab bersama pemain profesional eSport.

Dalam sesi soal jawab tersebut, seorang pelajar telah menyatakan bahawa pemain sukan eSport adalah anti sosial, tetapi kenyataan itu telah disangkal oleh ahli panel yang hadir.

Semua ahli panel bersetuju bahawa dengan bermain permainan video (eSport), mereka dapat berinteraksi bersama masyarakat global dengan lebih luas, bahkan mereka juga mengalakkan rakyat untuk mencuba dan aktif dalam eSport.

Forum tersebut telah membariskan pemain-pemain eSport profesional iaitu Pengarah Kelab eSport UKM, Hisyam Hardira, Lee Chien Jie, Jocelyn Ong, Megat Danish Izmeer, Ahmad Yazid Abd Rahman dan dikendalikan oleh Eksekutif UKM-Siswa, Zainal Asnawi Asyraf Zainal Abbidin sebagai moderator.

e-Sport ataupun dikenali sebagai permainan video telah berjaya menarik perhatian masyarakat dan semakin dikenali ramai. Industri yang berkembang pesat ini telah meningkatkan pengalaman permainan dan pemainnya ke tahap yang baru.

Pencinta sukan eSport bukan hanya bermain permainan itu di kafe-kafe internet dan asrama kolej sahaja, tetapi mereka juga turut bermain di arena yang dibina khas untuk mereka.

Pemain yang biasa dilihat sebagai kumpulan anti sosial ini, mula bermain secara profesional dalam pertandingan antarabangsa yang ditaja oleh pelbagai organisasi di seluruh dunia.