Forum: Pengurusan Bantuan Banjir Perlu Diperbaiki

Forum Flood Relief Management Needs ImprovementOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 2 Februari 2015 – Penyelarasan kurang cekap dan kecelaruan untuk mengagih bekalan bantuan menyebabkan ramai mangsa tidak menerima bantuan ketika banjir buruk di Kelantan baru-baru ini.

Forum Bicara PERSADA Ke-17 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini pada 29 Januari lalu diberitahu bahawa mangsa yang amat memerlukan bantuan telah tersisih walaupun terdapat banyak kumpulan sukarelawan kebajikan yang menyumbang kepada usaha-usaha bantuan. Forum itu bertajuk ‘Banjir 2014/2015: Merungkai  Kecelaruan’.

Seorang peserta dari Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) UKM Dato’ Moin Che Umar berkata pengurusan bantuan perlu diperbaiki sambil menyalahkan kekurangan maklumat hingga membawa kepada keadaan kelam kabut.

Dato’ Moin, yang juga bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Krisis dan Bencana Majlis Keselamatan Negara (MKN), menafikan MKN tidak bersedia. Bagaimanapun beliau mengakui terdapat kepincangan dalam penguatkuasaan undang-undang hingga berlakunya kecurian secara meluas.

Beliau menyalahkan media kerana tidak menyiarkan maklumat yang cukup mengenai keadaan kecemasan.

“Orang ramai tidak mengambil serius laporan berita TV biasa mengenai banjir. Pemberitaan demikian tidak memadai. Perlu ada amaran berkala dan berita terkini bagi menyedari orang ramai terhadap betapa seriusnya keadaan itu,” katanya.

Beliau mencadangkan latihan kecemasan dijalankan serta penggera amaran diadakan seperti sistem amaran awal Tsunami yang diwujudkan selepas tsunami Lautan Hindi tahun 2004.

Seorang Pakar Bedah tangan dan ahli exco MERCY Malaysia, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Prof Madya Dr Shalimar Abdullah merungut terdapat terlalu banyak kerenah birokrasi untuk memberi bantuan kepada mangsa sedangkan bantuan yang sebenarnya kekurangan.

“Setiap kali MKN panggil untuk mesyuarat, saya perlu menulis laporan perubatan dan apabila seseorang tidak hadir, MKN menuduh kita tidak bekerjasama. Sebenarnya saya mempunyai banyak kerja memberi bantuan perubatan di kampung-kampung yang terjejas yang tidak menerima bantuan langsung. Ia seolah-olah berpusing tanpa haluan apatah lagi wujud pula masalah kekurangan komunikasi,” katanya.

“Terlalu banyak mesyuarat hingga kerja tidak berjalan menjadikan saya rasa bosan dan terus turun ke padang,” tambah beliau.

Dr Shalimar berkata Orang Asli di kawasan pedalaman Kuala Krai Kelantan mengalami kesan paling teruk.

Beliau berkata walaupun sebulan selepas banjir itu dan berjuta ringgit dibelanjakan untuk bantuan dan pemulihan terdapat perkampungan Orang Asli di kawasan pedalaman Kelantan yang masih tidak dapat dihubungi.

“Mereka rasa disisihkan dan diabaikan, ada yang mengadu kenapa bantuan segera dan bantuan lain tidak diberikan kepada mereka, terutama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), yang sepatutnya menolong mereka menghadapi keadaan itu,” katanya.

Pakar Klimatologi dan Oseanografi Prof Dr Fredolin Tangang dari Fakulti Sains dan Teknologi meramalkan bahawa Malaysia akan mengalami banjir yang lebih serius seperti bencana yang mengakibatkan 100,000 mangsa terpaksa dipindahkan di Kelantan ketika itu.

Banjir itu berlaku kerana gabungan faktor pemanasan global, penebangan hutan dan kekurangan penguatkuasaan.

Prof Fredolin menegaskan banjir adalah fenomena akhir tahun, dan faktor-faktor yang wujud itu boleh berlaku di bahagian-bahagian lain di negara ini hingga boleh menyebabkan bencana yang lebih teruk.

Beliau berkata hujan luar biasa yang dialami di Kelantan dalam tempoh tiga empat hari itu disebabkan unsur iklim tropika yang digelar Ayunan Madden-Julian (MJO) yang berasal dari Lautan Hindi dan melalui Malaysia empat kali setahun.

Apabila MJO tiba bersama dengan musim tengkujuh Timur Laut yang melanda semenanjung pada akhir tahun 2014 ia telah menyebabkan hujan yang luar biasa, katanya.

Prof Fredolin, yang baru pulang dari Switzerland di mana beliau adalah Naib Pengerusi Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), berkata MJO menambahkan angin timur yang membawa kelembapan yang lebih hingga membawa kepada tengkujuh yang menambahkan curahan hujan lebih daripada biasa apabila ia melalui semenanjung.

Tidak seperti fenomena El Niño, MJO sering berubah dan tidak dapat diramalkan. MJO adalah suatu fenomena yang masih kurang difahami dalam iklim tropika.

Penceramah keempat Penolong Pesuruhjaya Bersekutu Kor Pertahanan Awam Siswa UKM, Prof Dato’ Ir Dr Othman A Karim mencadangkan zon penampan diwujudkan di kawasan-kawasan yang sering dilanda banjir, yang tidak harus didiami atau dibina rumah.

Prof Othman berkata jika orang terus tinggal di kawasan yang mudah ditenggelami air, banyak mana pun projek tebatan banjir dilaksanakan ia akan menjadi sia-sia sahaja.

Berdasarkan apa yang beliau sendiri saksikan, kemusnahan yang lebih dahsyat berlaku di Kelantan berbanding banjir tahun 2006 di Johor di mana 200,000 orang dipindahkan ketika itu, tetapi kerugian kurang kerana usaha bantuan adalah lebih sistematik.

Pada sesi soal jawab, penyelidik terkemuka hutan hujan tropika  di negara ini Prof Emeritus Dato’ Dr Abdul Latif Mohamad mempertikaikan faktor penebangan hutan dan pembalakan haram sebagai punca banjir.

Beliau menerangkan bahawa banjir paling teruk di Kelantan dalam ingatan telah berlaku pada tahun 1926 dan 1967, ketika penebangan hutan tidak berlaku.

Beliau percaya bahawa kitaran 40 tahun – yang digelar ‘Bah Merah’ kerana air tanah liat berwarna merah – adalah satu faktor penting.

Secara geografi, Kelantan terdedah kepada banjir kerana kawasan rendah di Kuala Krai, Machang, Pasir Mas dan Kota Baru yang pada keseluruhannya mempunyai 80 peratus daripada kawasan tadahan air di negeri itu.

Forum itu telah dipengerusikan oleh penyiar Puspavathy Ramaloo.
ukmnewsportal-bm