FSK lahir Lapan Usahawan ‘Right Diet For You’


Oleh Nadia Sapuan
Foto Abd Raai Osman

BANGI, 31 Mac 2017 – Program pemerkasaan usahawan ‘Right Diet For You (RightDiet4U) telah melahirkan seramai lapan orang bakal usahawan yang berkonsepkan perniagaan penghantaran makanan sihat dengan harga yang berpatutan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwan Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata Program RightDiet4U yang dibangunkan oleh Pusat Penyelidikan Rehabilitasi Komuniti dan Penuaan (H-CARE) UKM  diperkenalkan disebabkan oleh timbulnya kesedaran mengenai masalah kekangan masa dan kepenatan untuk memasak yang dihadapi oleh masyarakat kini.

“Jadi H-CARE telah mencipta peluang perniagaan kepada golongan suri rumah, asnaf dan golongan berpendapatan rendah bagi perkhidmatan penghantaran makanan ke pejabat atau ke rumah.

“Semua usahawan itu telah dilatih H-CARE untuk menyedia dan memasarkan enam menu yang terdiri daripada kategori makanan sihat,” katanya pada Majlis Penutup Program  RightDiet4U Projek Aparentis Usahawan di sini baru-baru ini.

Beliau menambah, program seperti itu dijangka memberikan impak yang besar kepada kesejahteraan populasi  setempat melalui perubahan tabiat makanan secara lestari.

Beliau turut berharap agar program yang melibatkan pemindahan ilmu diantara universiti dan komuniti dapat memberi manfaat kepada peserta dalam kemahiran penyediaan makanan sihat dan juga teknik pemasaran perniagaan berskala kecil atau sederhana.