Generasi Muda Kurang Minat dengan Perladangan Kelapa Sawit


Oleh Melissa Heidi
Foto oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 2 Jun 2017 – Apresiasi dan penghayatan terhadap perladangan kelapa sawit yang merupakan komoditi utama di Malaysia selain beras kurang mendapat sambutan oleh anak-anak muda sekarang, kata Ketua Projek Kem Sehari Skuad Palma Emas, Prof Madya Dr Che Radziah Che Mohd Zain.

Beliau berkata kelapa sawit adalah komoditi yang paling penting selepas beras yang menjana pendapatan untuk negara tetapi kurang dikenali oleh generasi muda.

“Kita adakan program Skuad Palma Emas ini kerana hendak memupuk minat, memberi didikan dan kesedaran serta penghayatan untuk generasi muda melihat kepentingan ekosistem alam,” katanya.

Beliau berkata pendidikan terhadap alam perlu dibentuk sejak peringkat awal lagi dengan mengaitkan kehidupan seharian dengan suasana alam sekeliling yang mesra.

Kelapa sawit dikenali sebagai tanaman dagangan emas di Malaysia kerana industri perladangan kelapa sawit merupakan penyumbang kedua yang tertinggi di Malaysia selepas sektor perkhidmatan.

Selain itu, kelapa sawit juga menyumbang kepada nilai sosio-budaya dan kesihatan awam serta peningkatan taraf hidup melalui sumber pendapatan di luar bandar, skim tanah kerajaan dan pekebun kecil dan juga sektor perkilangan dan pembuatan di bandar.