Gesaan Penyelidikan Pelbagai Disiplin Ditingkatkan

Oleh Nasrullah Uul (Pelajar Pelatih UKM)
Foto Abd Ra’ai Osman

Researchers Urged To Step Up Multi-Disciplinary ResearchBANGI, 16 Mac 2015 – Penyelidik-penyelidik dari pelbagai bidang di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) digesa meningkatkan kerjasama antara mereka bagi menghasilkan penemuan yang boleh memanfaatkan masyarakat.

Naib Canselornya Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali memuji 13 orang penyelidik dari pelbagai displin ilmu di UKM kerana telah berjaya mengabungkan kajian dalam bidang berbeza di antara mereka.

Beliau memberikan pandangannya itu dalam ‘Sesi Sepetang Warga Penyelidik bersama Naib Canselor: Pembentangan Projek Penyelidikan’ di sini baru-baru ini.

Prof Noor Azlan berkata beliau telah perhatikan keberhasilan para penyelidik yang menjalankan penyelidikan dan akan terus menyokong langkah untuk menghasilkan penemuan baharu.

Beliau berkata penyelidikan harus didorong sebagai sesuatu peluang dan sebarang keraguan yang wujud harus dapat diselesaikan.

“UKM kaya dengan kepelbagaian serta didukung oleh bijak pandai dan kiranya kepakaran mereka dapat digabungkan ia tentunya akan melahirkan sesuatu yang boleh menghasilkan manfaat besar,” tambah beliau.

Beliau yakin pada satu masa nanti peralatan perubatan misalnya tidak lagi perlu di import tetapi diciptakan oleh pakar tempatan dan kepelbagaian displin ilmu demikian itu akan memberi manfaat kepada negara.

Majlis ini turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Universiti Prof Datuk Ahmad Tasir bin Lope Pihie, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Prof Dato Dr Mazlin Mokhtar (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) dan Prof Dr Imran Ho Abdullah (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat).

Prof Mazlin berkata bahawa penyelidikan harus memberi impak yang dapat dinikmati masyarakat, baik di dalam maupun di luar negara.

Masyarakat mempunyai harapan dan tumpuan terhadap UKM sebagai sebuah universiti penyelidikan untuk menyumbang kepada pengembangan ilmu dan penyelidikan.

Setiap pembentang diberikan masa lima minit untuk menyampaikan keselurahan ide mereka dan ini telah memberi ruang kepada peserta didedahkan kepada pandangan-pandangan bernas, kata Prof Mazlin.

Prof Madya Dr Chua Kien Hui membentangkan hasil penemuannya mengenai kesihatan tulang dan cara untuk mengelakkan penyakit tulang osteoporosis melalui rawatan bersandarkan kepada minyak kelapa sawit

Prof Datin Dr Norizan Bt Abd Razak dari Pusat Komunikasi Korporat telah memperkenalkan kempen sayang UKM. Penyelidikan yang beliau gagaskan selama ini adalah perkhidmatan pemasaran bijak (smart marketing service) yang telah banyak memberi impak kepada para usahawan kecil untuk bersaing secara global melalui laman sesawang.

Menutup pertemuan itu, Prof Noor Azlan menyimpulkan bahawa penyelidikan yang sedang dijalankan meliputi pelbagai aspek penting yang boleh dimanfaatkan masyarakat dalam berbagai bidang termasuk ekonomi, kesihatan, sains lautan, pengembangan spritual, intlektual, budaya dan bahasa.

Kerja-kerja itu akan saling melengkapi dalam proses mewujudkan masyarakat yang sejahtera, berwawasan luas, berbudaya tinggi serta saling hormat menghormati, tambah beliau.
ukmnewsportal-bm