Golongan Wanita Disaran Untuk Berani Membuat Perubahan


Oleh Nadia Sapuan
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 19 April 2017 – Golongan wanita di Malaysia disarankan untuk berani membuat perubahan demi kemajuan diri mereka sendiri sebagai menepati tema Be Bold To Change yang disarankan oleh Hari Wanita Antarabangsa 2017.

Demikian menurut Pengarah KPJ Healthcare Berhad, Tan Sri Siti Sa’diah Sheikh Bakir pada Syarahan Tun Fatimah Hashim bertajuk Women, Leadership And Sustainability: Increasing Role Of The Feminine Force sempena Hari Wanita Antarabangsa 2017, di UKM, baru-baru ini.

Beliau berkata, untuk membuat perubahan demi kemajuan sendiri, wanita mesti ada persediaan dan berani untuk bersuara seperti melontarkan idea yang kritis.

“Kebolehan wanita memang tidak dapat dinafikan, yang penting mereka memiliki keyakinan yang tinggi dan perlu berani belajar untuk membetulkan kesilapan sendiri,” katanya.

Tambah beliau, masyarakat kini perlu meningkatkan penghasilan wanita yang berdaya maju dan bersaing.

“Bagi saya, apa yang penting ialah kita perlu  ada keseimbangan dalam peranan antara lelaki dan perempuan (balance work life) dan mungkin kita perlu kaji kembali peranan mereka.

“Contohnya, jika sekarang persekitaran masyarakat kita adalah suami isteri bekerja, maka tidak adil untuk wanita sahaja yang ditugaskan untuk memasak dan menjaga anak sementara suami pula tidak membuat apa-apa.

“Oleh itu, wanita yang mempunyai anak sekarang perlu mengajar dan mendidik anak mereka sama ada lelaki atau perempuan tentang peranan mereka bersama – sama supaya mereka tahu tentang tanggungjawab yang perlu dikongsi,” katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada golongan wanita untuk menyahut segala cabaran yang datang kerana setiap cabaran itu adalah sebuah peluang untuk memajukan diri ke hadapan.