Graduan PhD UKM Cipta Sistem Diagnostik Berdasarkan Gelombang Mikro Mudah Alih untuk Pengesanan Tumor Payudara

Oleh Izzul Aniq
Foto oleh Ikhwan Hashim

BANGI, 2 Julai 2018 – Graduan Doktor Falsafah (PhD) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menamatkan pengajiannya dalam tempoh tiga tahun telah berjaya membangunkan Sistem Diagnostik Berasaskan Gelombang Mikro Mudah Alih untuk pengesanan tumor payudara.

Objektif utama penyelidikannya adalah untuk mewujudkan satu sistem yang mampu untuk mengesan tumor payudara pada peringkat awal.

Md. Zulfiker Mahmud, seorang graduan PhD dalam Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) berkata penyelidikan itu memberi tumpuan khusus untuk membangunkan peranti yang mudah alih, menggunakan sistem pengimejan gelombang mikro dan sesuai untuk persekitaran klinikal.

“Ini dengan harapan bahawa sistem ini  akan mudah diakses oleh pesakit tanpa perlu pergi ke hospital melainkan jika ianya perlu untuk pemeriksaan intensif lebih lanjut,” katanya.

Pada masa ini, katanya, peranti itu telah diuji pada phantom payudara yang mempunyai sifat fizikal seakan payudara manusia yang sebenar.

Phantoms ini mahal dan ia hanya mampu bertahan selama tiga bulan. Ujian lanjut ke atas tubuh manusia diharapkan dapat dilaksanakan tidak lama lagi,” jelas Md Zulfiker dalam menjelaskan cabaran penyelidikannya.

Radiasi dan mampatan yang tidak selesa terhadap pada payudara sewaktu pemeriksaan juga merupakan salah satu masalah dalam sistem yang sedia ada.

Sistem ini memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi gelombang mikro dengan kesan bukan pengionan dan ini mampu dilakukan dengan menggunakan sembilan antena yang dipasang pada motor stepper, tiada pemampatan yang berlaku kerana sistem ini tidak melakukan sentuhan dengan pesakit.

Walau bagaimanapun, ia juga merupakan sebahagian daripada fokus pasukan untuk menghasilkan peranti yang berkos rendah dan produk yang mudah digunakan apabila ia telah mencapai tahap pengeluaran pada masa akan datang.

Penyelidikan ini dijalankan oleh tiga penyelidik bersama dua penyelia Prof. Dr. Mohammad Tariqul Islam dan Prof. Dr. Norbahiah Misran, bermula pada tahun 2015, dan menerima geran penyelidikan pada tahun 2016 dan 2017 untuk mencapai sifat kemudahalihan sistem. Peringkat pembinaan prototaip dapat dilakukan dengan bantuan geran Inovasi dari PIK UKM pada tahun 2017.

“Pada tahun 2016, inovasi ini telah menerima Anugerah Emas di pertandingan inovasi PECIPTA 2016.

“Dengan sistem ini, diharapkan tahap kesedaran terhadap pengesanan awal tumor payudara meningkat dan seterusnya ia dapat dirawat secara intensif,” jelas Md. Zulfiker.