Graduan UKM Perlu Lebih Berdaya Saing

UKM Graduates Needed To Be More CompetitiveOleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 12 Februari 2015 – Langkah-langkah perlu diambil untuk memperbaiki persepsi terhadap graduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memandangkan negara akan membenarkan lebih ramai  tenaga kerja mahir masuk dari negara-negara ASEAN lain di bawah dasar satu komuniti ekonominya tahun ini.

Berucap pada Karnival-Novasi Pengajaran dan Pembelajaran UKM di sini hari ini Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Ir Datuk Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat bimbang graduan UKM akan menjadi kurang berdaya saing apabila Malaysia dan negara-negara ASEAN lain meliberalisasikan ekonomi mereka.

Dalam ucaptamanya bertajuk ‘Graduan aspirasi kebangsaan, kompeten, berdaya saing dan inovatif ‘, Prof Riza Atiq berkata pelajar-pelajar harus tidak disisihkan hanya kerana UKM mahu mencapai kecemerlangan sebagai universiti penyelidikan.

Usaha supaya graduan UKM boleh bersaing dalam pasaran pekerjaan tidak boleh diabaikan semasa ia mahu bersaing dalam penyelidikan saintifik pascasiswazah.

“Graduan kita tidak hanya akan menghadapi persaingan tempatan tetapi juga perlu boleh bersaing untuk mendapatkan pekerjaan dengan pekerja berpengetahuan dari negara-negara jiran.

“Malaysia menggaji jurutera perisian dari negara-negara ASEAN lain sebelum pun satu komuniti ekonomi ASEAN wujud akhir tahun ini. Separuh daripada graduan yang bekerja di Cyberjaya kini adalah dari Indonesia dan Filipina,” katanya.

Graduan dari negara-negara jiran itu sanggup bekerja lebih tekun untuk mendapat pengalaman dan tidak terlalu memilih dengan gaji yang diperolehi.

Pada masa sama, persepsi negatif mengenai graduan UKM yang kononnya kurang fasih berbahasa Inggeris masih wujud di kalangan bakal majikan.

Prof Riza Atiq tidak menolak hakikat bahawa ramai graduan UKM terlalu cerewet mengenai gaji pekerjaan awal mereka manakala mereka juga menunjukkan kekurangan kemahiran berkomunikasi semasa temuduga kerja.

“Kami mahu pelajar yang fasih dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan bagi lulusan dari Fakulti Pengajian Islam, Bahasa Arab juga,” jelas beliau.

Beliau kesal bahawa ramai graduan tidak bersedia untuk menghadapi dunia luar kerana kekurangan kualiti kepimpinan, keyakinan dan kemahiran berkomunikasi.

“Kedudukan graduan UKM adalah rendah pada puratanya di kalangan universiti-universiti awam. UKM mungkin telah terlalu memberi tumpuan kepada penyelidikan hinggakan terlupa mengenai pelajarnya sendiri,” tambah Prof Riza Atiq.

Beliau menunjukkan statistik yang memberi gambaran kurang memuaskan mengenai graduan UKM, dengan kemahiran seperti kebolehan berkomunikasi, pemikiran kritis, kerja berpasukan, etika dan semangat kerja – semuanya merosot.

UKM, katanya, mungkin berjaya dalam penyelidikan dan inovasi tetapi graduan yang keluar darinya – kecuali bidang perubatan dan pergigian – menghadapi masalah mencari pekerjaan yang padan dengan kelulusan mereka.

Yang menghairankan, Universiti Malaya (UM) – satu lagi universiti perdana – juga menunjukkan keadaan yang sama dengan UKM dalam soal persaingan graduan mereka menghadapi pekerjaan.

Sebaliknya universiti-universiti kurang berprestij seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM) menunjukkan hasil yang lebih baik.

“Pelajar UPSI diajar kemahiran psikologi. Ujian psikometrik  juga diberi penekanan di UPSI,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata masih ada harapan untuk graduan UKM. Kajian tahun lepas menunjukkan kebolehpasaran graduannya telah meningkat kepada 72% berbanding 58% pada tahun 2013.

Namun demikian menurut penyelidikan, UKM masih ketinggalan dalam persepsi kualiti graduan jika dibandingkan dengan USM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), UM dan UPM.

Prof Riza Atiq berkata graduan UKM perlu mengubah sikap mereka yang lebih suka bekerja dengan kerajaan atau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk menjadi lebih berani dan bersedia bekerja dengan firma-firma kecil dan sederhana.
ukmnewsportal-bm