Graduan Usah Hadkan Diri – Prof Emerita Mazlan

mazlan01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 November 2015 – Jangan membataskan diri anda dengan satu pekerjaan atau satu tempat.

Anak-anak muda yang baru bermula dalam kerjaya mereka perlu bersedia untuk mengambil risiko dan tidak takut melakukan kesilapan, kata Prof Datuk Dr Mazlan Othman dalam ucapbalas setelah dianugerahkan gelaran   Profesor Emerita pada sesi ke-3 majlis konvokesyen ke-43 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ) di sini hari ini.

Prof Emerita Dr Mazlan berkata kerjayanya merupakan langkah kemajuan dari pensyarah dan penyelidik kepada pengurus dan pemimpin, kepada diplomat antarabangsa.

Setiap fasa kerjayanya, kata beliau, memberikan rasa kepuasan yang berbeza kerana keperluan sumbangan berlainan.

“Rasa ingin tahu dan minat kepada misteri memperlihatkan kemungkinan tidak berkesudahan di alam semesta yang belum diketahui. Minat saya kepada pengembaraan dan keasyikkan untuk kebebasan, fizikal dan mental, melihat angkasa lepas sebagai sempadan akhir bagi penerokaan. Cinta kepada seni dan ingin mencari tempat kemanusian di alam ini memperlihatkan keindahan ciptaan Tuhan dalam Kerawang Angkasa Lepas.

“Oleh itu, mesti ada sifat ingin tahu, pergi mengembara. Jangan membatasi diri anda untuk satu pekerjaan atau satu tempat. Ambil risiko. Pergi ke Afrika, pergi ke Antartika. Anda tidak tahu ke mana ini mungkin membawa anda. Jangan takut untuk membuat kesilapan. Percayalah, anda mengetahui lebih lanjut daripada membuat kesilapan daripada berpuas hati berduduk diam,” jelasnya.

Tambahnya, dengan penghormatan tersebut, seolah sirih kembali ke ganggang dan kini beliau berikrar berbakti kepada masyarakat.

Prof Mazlan merupakan felo Akademi Sains Negara, pakar  astrofizik, seorang tokoh perintis dalam bidang sains angkasa di Malaysia dan mantan pensyarah di UKM.

Beliau merupakan pengarah semasa Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Angkasa Lepas di Vienna, Austria. Beliau memperolehi Ph.D. dalam Astrofizik dari University of Otago, New Zealand, pada tahun 1981 –  wanita pertama yang memperolehi kejayaan demikian sejak ia ditubuhkan.

Beliau juga telah dilantik sebagai Duta Angkasa Lepas untuk hubungan luar bumi oleh PBB.ukmnewsportal-bm

mazlan