Halal Pharmaceutical Symposium 2020 Pamer Penyelidikan Farmaseutikal Halal di Malaysia


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 25 Februari 2020 – Bagi memperkasakan lagi penyelidikan dan inovasi bidang farmaseutikal dalam menghasilkan ubat-ubatan halal yang bebas daripada sebarang unsur meragukan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Halal Pharmaceutical Business Initiatives (HPBI-UKM) bersama Duopharma Biotech Berhad menganjurkan Simpoaisum Halal Farmaseutikal 2020 (Halal Pharmaceutical Symposium 2020).

Simposium bertemakan Membina Masyarakat Penyelidikan dan Akademik yang Sihat dan Dinamik dalam Bidang Halal menghimpunkan kira-kira 200 peserta daripada pelbagai industri yang terlibat dalam industri farmaseutikal di Malaysia seperti pengamal penjagaan kesihatan, ahli akademik, pemain industri halal, agensi kerajaan dan pelajar.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata, penganjuran simposium itu adalah bertepatan dengan Majlis Kolaborasi Strategik UKM dengan Duopharma Biotech Berhad diadakan pada 15 Mac 2019 lalu.

“Pemeteraian perjanjian kerjasama penyelidikan merupakan pencapaian yang amat penting di antara UKM dengan Duopharma Biotech Berhad, di mana pihak Duopharma Biotech Berhad memberi dana penyelidikan kepada penyelidik-penyelidik UKM dalam bidang kajian yang berkaitan farmaseutikal halal.

“Pencapaian ini bermula dengan penubuhan HPBI-UKM yang terdiri daripada UKM- Graduate School of Business (UKM-GSB), Fakulti Farmasi (FFar), Fakulti Pengajian Islam (FPI), UKM-UNIPEQ dan Fakulti Sains & Teknologi (FST) dalam memulakan inisiatif kajian berkaitan dengan bidang farmaseutikal halal ini,” katanya di sebuah hotel terkemuka di ibu kota.

Sebanyak empat projek penyelidikan dalam bidang kajian berkaitan farmaseutikal halal oleh para pensyarah UKM telah dipersetujui bersama untuk menerima sejumlah dana penyelidikan daripada pihak Duopharma Biotech Berhad yang kesemuanya bernilai RM100,000 dan juga dana penyelidikan tambahan yang diberikan oleh pihak UKM-UNIPEQ Sdn. Bhd. bernilai hampir RM30,000.

Empat projek berkenaan diletakkan di bawah satu kumpulan penyelidik yang dianggotai oleh pensyarah-pensyarah daripada UKM-GSB, FFar, FPI dan FST.

Sementara itu, Pengerusi Halal Development Corporation, Dato’ Mahmud Abbas berkata, perkongsian dan pertimbangan maklumat dalam simposium itu menekankan kepentingan dalam strategi yang jelas dan mampan untuk membangunkan industri penjagaan kesihatan halal.

“Ini akan membolehkan syarikat-syarikat Malaysia merancang dan meningkatkan kehadiran mereka dalam pasaran halal dunia.

“Lebih penting lagi, isu dan cabaran yang dihadapi dalam rantaian nilai farmaseutikal halal mestilah dikenal pasti dengan jelas untuk membolehkan pihak Kerajaan terus menyokong dan meningkatkan pembangunan industri ini,” katanya.

Simposium ini diharap akan menjadi pemangkin kepada usaha Malaysia dalam menerajui pembangunan industri farmaseutikal halal dunia demi menjaga keperluan dan kesejahteraan umat Islam.