Hampir 6,000 Graduan Terima Ijazah Pada Konvokesyen UKMKe-43

vc
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 31 Okt 2015 –  Seramai  5,897 orang graduan menerima ijazah pada konvokesyen ke-43 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama empat hari mulai hari ini, menjadikan lebih 176,009 orang siswazah yang dihasilkan dalam 45 tahun penubuhannya.

Jumlah yang menerima ijazah dalam  konvokesyen kali ini terdiri daripada 483 penerima ijazah doktor falsafah, 2379 ijazah sarjana, 2950 ijazah sarjanamuda dan 85 diploma siswazah dan diploma.

Hal tersebut diberitahu oleh Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali pada sesi pertama konvokesyen ke-43 UKM di sini hari ini.

Prof Noor Azlan berkata UKM masih berjaya mengeluakan jumlah graduan doktor falsafah yang ramai dalam pelbagai bidang.

“Kita yakin bilangan sebesar itu telah membentuk jaringan alumni yang luas serta memberi sumbangan, bukan sahaja kepada negara malah kepada dunia keseluruhannya,” kata beliau.

Namun demikian, UKM tetap memberi perhatian kepada kebolehpasaran graduan yang baru lulus melalui UKM-KARIER.

“UKM-KARIER berperanan meneraju aktiviti berkonsepkan ‘train and place’ – iaitu mereka diberi latihan kemahiran ‘soft skills’ dan sijil profesional. UKM-KARIER turut berkerjasama dengan TalentCorp Malaysia untuk pelajar berinteraksi secara langsung dengan pihak industri melalui program Industry Engagement Zone (IND-E-ZONE).

“Terkini, UKM-KARIER akan menganjurkan ‘virtual career fair’ dalam bulan Januari 2016 iaitu hari kerjaya secara maya yang membolehkan pelajar dan graduan berinteraksi dan ditemuduga oleh industri secara ‘online’. Maklumat mengenai ‘video resume’ dan ‘virtual career fair’ turut diedarkan kepada semua graduan dalam Majlis Konvokesyen pada kali ini,” beliau menjelaskan.

Majlis Konvokesyen ini dirasmikan oleh Canselor UKM, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Pada majlis ini, UKM  menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat kepada empat tokoh negara yang telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan bidang masing-masing dan gelaran Profesor Emeritus dan Emerita kepada lima orang mantan tenaga akademik yang telah memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan UKM dan negara.

Pada sesi pertama , mantan Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr  Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dianugerahkan gelaran Profesor Emerita.

“Beliau adalah mantan Naib Canselor wanita pertama UKM dan merupakan seorang tokoh berjasa dalam mengangkat UKM sebagai universiti kebangsaan yang terkemuka,” kata Prof Noor Azlan.

Manakala, Tan Sri Datuk (Dr) Haji Mustapha Kamal Haji Abu Bakar dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pentadbiran Perniagaan.

“Beliau adalah tokoh korporat ternama dan dihormati dalam bidang perniagaan dan hartanah,” beliau menegaskan.

Sementara itu, Anugerah Pelajaran Diraja dikurniakan kepada pelajar Fakulti Undang-Undang Lilian Lee dan pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan  Noviatin Binti Syarifuddin.

Nur Yasmin Khairani Binti Zakaria dari Fakulti Pendidikan menerima anugerah Tun Abdul Razak dan Lily Koh dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina memenangi anugerah Naib Canselor.ukmnewsportal-bm

sharifah

mustafa

03

02