HCTM UKM Guna Robot bagi Kurangkan Pendedahan COVID-19


Oleh Asmahanim Amir
Foto oleh HCTM 

CHERAS, 12 April 2020 – Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal menggunakan robot bagi mengurangkan pendedahan petugas barisan hadapan kesihatan dalam memberikan khidmat kepada pesakit COVID-19.

Prototaip robot yang dibangunkan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan DF Automation and Robotics Sdn Bhd (DF), adalah Robot Penghantaran Pertama Buatan Malaysia yang diberi nama dengan jolokan Makcik Kiah 19 (MCK19) iaitu Key Innovations Assisting Healthcare (KIAH), diinspirasikan daripada ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.

Sebagai permulaan, sistem automasi ini dirancang untuk menggantikan petugas mengedarkan sajian makanan bagi pesakit yang dikuarantin tetapi dalam kategori 1 dan 2 (iaitu yang dikesan positif COVID-19 tetapi sihat atau bergejala ringan).

Projek robotik itu telah mendapat sokongan daripada MOSTI, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Malaysia Technology Development Cooperation (MTDC) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Percubaan klinikal (clinical trial) terhadap keupayaan robot ini akan dilakukan tidak lama lagi.

Malah inovasi ini telah menarik minat Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir yang telah berkunjung ke HCTM pada 10 April yang lalu bagi melihat sesi demonstrasi prototaip teknologi robotik tersebut.

Menurut Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor, UKM menyambut baik kolaborasi daripada UTM dan DF dan berterima kasih di atas sokongan padu MOSTI, KKM dan MTDC terutamanya bagi fasa percubaan ini.

Sementara itu, Pengarah HCTM, Prof Dato’ Dr. Hanafiah Harunarashid berkata penggunaan robot dan inovasi baru mengunakan teknologi Internet of Things (IoT) dalam.memerangi serta merawat pesakit COVID-19 dapat mengurangkan risiko kepada petugas perubatan dan membuka ruang kepada inovasi yang canggih di masa akan datang.

“Kami ada perancangan untuk menghasilkan robot yang boleh mengambil suhu badan dan tekanan darah serta melakukan sanitasi nyahvirus di dalam wad pada masa akan datang,” katanya.