Hentikan Penyebaran Fahaman Syiah

dsc_1206-custom

Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Foto Ahmad Shahiddan Saidi

Perbuatan mengkafirkan harus dihentikan kerana pada asasnya dalam Islam, sunni dan syiah adalah bersaudara, kata Prof Madya Dr Kamaluddin Nurdin Marjuni, pensyarah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) semasa menyampaikan Syarahan Umum Felo Pelawat Institut Islam Hadhari baru-baru ini.

Beliau berkata masyarakat tidak boleh menghukum puak Syiah dengan mengatakan mereka kafir kerana dalam lafaz syahadah, mereka tetap mengakui bahawa tiada tuhan selain Allah SWT, dan Nabi Muhammad itu persuruh Allah.

“Hanya Allah SWT sahaja yang boleh menentukan kafir atau tidak sesuatu kaum itu,” katanya.

Prof Madya Kamaluddin berkata, golongan syiah diminta menghentikan perbuatan menarik orang Islam yang lain supaya berfahaman seperti mereka kerana umat Islam tidak dapat menerima sebarang ajaran yang memburuk-burukkan para sahabat Nabi Muhammad SAW, terutamanya Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab dan isteri baginda, Siti Aishah.

Beliau yang berasal dari Indonesia memuji Malaysia kerana tegas melarang sebarang usaha menyebarkan ajaran Syiah.

“Di Malaysia undang-undangnya lebih ketat, jadi ia dapat menyekat sebarang penyebaran fahaman syiah.

“Namun kita tetap meminta supaya syiah menghentikan segala usaha mereka untuk menarik orang lain kerana kita tahu mereka mahu menjayakan misi ke peringkat global, iaitu memastikan syiah menguasai Islam pada tahun 2029.

“Ini mereka lakukan dalam bentuk ketenteraan, menawan para ulama sunni dan perang saraf terhadap umat Islam yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Hadir sama ke masjlis itu ialah Pengarah Institut Islam Hadhari, Prof Datuk Dr Mohd Yusof Othman.

dsc_1242-custom