IBFIM Jalin Kerjasama dengan Tiga Fakulti di UKM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 26 November 2018 – Institut Perbankan dan Kewangan Malaysia (IBFIM) menjalinkan kerjasama dengan tiga fakulti di UKM iaitu Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Fakulti Undang-Undang (FUU) dan Fakulti Pengajian Islam (FPI) bagi menawarkan sijil Professional Associate Qualification in Islamic Finance (AQIF).

Dekan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (FEP), Prof Dr Norman Mohd. Saleh berkata, pelajar yang mendaftar dalam program akademik di ketiga-tiga fakulti tersebut yang silibusnya telah disetarakan dengan modul AQIF layak mendapatr pensijilan IBFIM.

“Di bawah FEP, program yang terlibat ialah Ijzah Sarjana Ekonomi Islam, Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kep) – modul ekonomi Islam,Ijazah  Sarjana Muda Perniagaan (Kep)- modul kewangan dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan – modul pengurusan risiko.

“Di bawah FUU, program yang terlibat ialah Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kep) manakala di FPI pula ialah Ijazah Sarjana Muda (Kep) Pengajian Islam (Syariah),” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorndum PErjanjian antara UKM dengan IBFIM, baru-baru ini.

Katanya, beliau yakin bahawa kebolehpasaran graduan UKM akan meningkat terutamanya dalam industri perbankan dan kewangan Islam.

“Kami berharap melalui MoA serta pengalaman dan kepakaran dari IBFIM, program yang ditawarkan oleh ketiga-tiga fakulti ini akan ditambah baik dan dapat menyediakan sumber manusia di Malaysia khususnya untuk industri perbankan dan kewangan Islam pada tahun-tahun akan datang,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IBFIM, Yusri Yusoff berkata, UKM adalah universiti pertama yang menjalin kerjsama dengan IBFIM untuk tiga fakulti serentak.

“Kerjasama yang kita lakukan ini adalah untuk menyediakan graduan yang mencipta pekerjaan, bukannya mencari pekerjaan. Kita nak bagi peluang kepada mereka (graduan) untuk menceburi bidang perniagaan Islam, kewangan Islam dan perkhidmatan kewangan,” ujar beliau.

Katanya, beliau percaya dan yakin UKM akan melahirkan graduan yang lebih berdaya saing di masa hadapan.