iG-Home-Inovasi Rumah Lestari Cetus Minat STEM Dan Kelestarian Alam Sekitar


Oleh Muhammad Fikri Abdullah
Gambar Oleh Izwan Azman

BANGI, 25 Februari 2019 – Program iG-HOME Inovasi Rumah Lestari yang diadakan di Kedah bermula tahun 2017 bertujuan untuk menggalakkan minat pelajar dalam pembelajaran abad ke-21, dengan menggunakan modul berasaskan Sains, Teknologi, Kejuteraan dan Matematik (STEM).

Program itu adalah kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Yayasan Pintar dan Yayasan Hasanah, melibatkan 30 buah sekolah, 59 orang guru dan 1,238 orang pelajar Sekolah Menengah.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) UKM merangkap Ketua Projek iG-Home, Shahrom Md Zain berkata, pelajar-pelajar yang terlibat dengan program itu menggunakan modul iG-Home, iaitu buku teori dan buku aktiviti yang disediakan khas untuk mereka yang meliputi aktiviti individu, berkumpulan dan projek utama di sekolah bersama ibu bapa dan komuniti setempat.

“iG-Home menggunakan modul yang berasaskan enam komponen sains iaitu pengasingan sisa pepejal dan amalan 3R rumah lestari, pengoposan sisa organik, biogas, sistem tuaian air hujan, bumbung hijau dan amalan hidup lestari serta bahan dan komponen binaan lestari,” katanya.

Beliau berkata, keenam-enam komponen tersebut memberi satu cetusan inovasi ilmu gabungan kelestarian dan STEM bagi menjadikan rumah kediaman betul-betul bercirikan kelestarian serta isi rumahnya yang mengamalkan gaya hidup yang lestari.

“Projek ini telah berjaya membuktikan tentang impak berkesan ilmu STEM dan dapat meningkatkan keprihatinan semua yang terlibat dalam aspek kelestarian alam sekitar.

“Melalui pendekatan dan sistem yang diperkenalkan, sekolah mampu melaksanakannya dengan lebih berkesan dengan penglibatan semua pihak di semua peringkat sehinggalah kepada keluarga pelajar dan komuniti berhampiran pelajar,” jelasnya.

Pertandingan sekolah iG-HOME Inovasi Rumah Lestari adalah projek utama yang perlu dijalankan di sekolah bersama pelajar dan digalakkan penglibatan bersama Persatuan ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak luar.

Katanya, kerjasama dengan pihak E-Idaman Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat konsesi dari segi sumbangan kemudahan untuk aktiviti kitar semula di sekolah dan penyediaan jadual kutipan yang berkesan mampu menjadikan projek iG-Home di sekolah dilaksanakan secara berterusan di sekolah dan kawasan kediaman.

Implementasi Modul ini bermula dalam Fasa 1 2017 di 13 buah Sekolah di Negeri Kedah iaitu Mei hingga Oktober 2017 manakala Fasa 2 2018 melibatkan 17 buah sekolah bermula Febuari 2018 hingga Ogos 2018.