Impian Bergelar Penyelidik dalam Usia Muda Tercapai


Oleh Siti Lailatul Mastura Norazlan
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 2 November 2019 – Usaha yang berterusan bagi memastikan impian untuk menjadi seorang penyelidik dan ahli akademik hampir tercapai apabila Abdullah Amru Indera Luthfi, 29, telah terpilih menerima Anugerah Emas Kedoktoran pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-47, hari ini.

Graduan Doktor Falsafah (PhD) dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) berkata, minat untuk mendalami bidang penyelidikan telah bermula ketika beliau menyiapkan tesis di peringkat ijazah pertama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Dalam menyempurnakan pengajian PhDnya, beliau telah menjalankan penyelidikan berkenaan Sisa Kelapa Sawit (Pelepah Sawit).

Menceritakan tentang kejayaan beliau, Abdullah Amru berkata kejayaan yang diperolehi adalah hasil dari usaha keras dan pengorbanan yang telah dilakukan.

“Saya tidak mempunyai rahsia kejayaan yang istimewa, tetapi saya akan sentiasa memastikan agar kekal fokus dengan impian saya untuk mencapai tahap tertinggi sebagai seorang mahasiswa.

“Sememangnya tiada jalan pintas untuk berjaya, melainkan semangat yang tinggi dan keazaman dalam memanfaatkan setiap peluang yang ada,” katanya.

Abdullah Amru berkata sebagai seorang siswazah, pembahagian masa adalah penting bagi memastikan kelancaran kajian yang dijalankan.

“Secara umum, antara aktiviti utama yang harus dilakukan sebagai penyelidik adalah menjalankan kerja-kerja di makmal, writing dan menyertai persidangan, latihan atau pertandingan di luar makmal,” ujarnya.

Katanya, seorang siswazah perlu merebut segala peluang yang ada untuk memastikan setiap peluang itu digunakan sebaiknya demi mencapai matlamat dan cita-cita yang diimpikan.

Di sebalik kejayaan yang beliau kecapi pada hari ini, semestinya sokongan dan dorongan dari orang sekeliling yang banyak membantu beliau sampai ke tahap ini.

“Sumber inspirasi saya sudah tentulah kedua ibu bapa saya iaitu Indera Luthfi OK Rahmat dan Norsiah Hassan yang telah bertungkus lumus membesarkan saya dan menjadikan saya seorang manusia yang berjaya.

“Selain itu, bapa saudara saya iaitu seorang ahli akademik, Prof. Dato’ Ir. Dr. Riza Atiq serta penyelia saya, Prof. Dr. Jamaliah yang menjadi pendorong untuk meneruskan perjalanan hidup saya dan melangkah lebih jauh dalam mencapai impian yang saya hajati untuk menjadi ahli akademik dan penyelidik,” katanya.

Beliau yang kini sedang mengikuti program Postdoctoral di UKM memasang impian menjadi seorang ahli akademik dan penyelidik yang cemerlang serta dapat menyumbang sesuatu kebaikan kepada masyarkat.

“Saya mahu menajdi contoh yang baik kepada adik-adik, kawan-kawan dan generasi akan datang,” katanya.

Sepanjang perjalanan PhDnya, Abdullah Amru telah menerbitkan 13 penerbitan berindeks Scopus/ISI dan prosiding antarabangsa berkenaan dengan kajian PhD yang dijalankan.