INBIOSIS UKM Terima Sijil MS ISO/IEC 17025:2005

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 8 Ogos 2016 – Institut Biologi Sistem (INBIOSIS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mendapat akreditasi Skim Akreditsi Makmal Malaysia (SAMM) dan dianugerahkan sijil MS ISO/IEC 17025:2005 daripada Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia), baru-baru ini.

Penganugerahan sijil itu adalah untuk Prosedur Kerja dan Kaedah Pengujian Sampel bagi mesin GC-MS INBIOSIS, sebuat alat yang telah diperoleh pada tahun 2010 melalui dana Pembangunan Instrumen Penyelidikan (PIP) daripada Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Instrumentasi (CRIM).

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata pembudayaan kualiti di UKM perlu ditingkatkan di semua peringkat terutamanya makmal-makmal perkhidmatan.

“Ini kerana tadbir urus yang baik, profesional dan mengikut piawaian antarabangsa perlu diwujudkan bagi memastikan infrastruktur, sistem sokongan dan operasi makmal tersebut dapat dirancang dan dilaksanakan dengan baik dan bersistem.

“Semua ini adalah faktor kritikal yang diperlukan bagi memastikan UKM terus maju dan berkembang sebagai sebuah universiti yang setanding dengan universiti kelas dunia,” katanya pada majlis Penyerahan Sijil MS ISO/IEC 17025:2005 .

Beliau berkata atas keperluan itu, UKM berhasrat untuk menambah bilangan makmal yang akan turut melalui proses akreditasi pada masa hadapan.

“Dengan adanya makmal-makmal yang mempunyai peralatan yang canggih dan dikendalikan oleh staf yang terlatih, saya berharap agar hasrat universiti untuk melahirkan para ilmuan dan pakar yang terbilang akan dapat direalisasikan,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Datuk Fadhilah Ibrahim telah menyampaikan sijil tersebut kepada Prof Mazlin dan disaksikan oleh Pengarah INBIOSIS Prof Dr Ismanizan Ismail.ukmnewsportal-bm
2

3