Institusi Perlu Ditadbir Urus dengan Baik – Tuanku Canselor

1
Oleh Asmahanim Amir
Gambar oleh Abdul Raai Osman, Ikhwan Hashim, Shahiddan Saidi

BANGI, 12 Oktober 2016 – Semua institusi perlu ditadbir urus dengan baik kerana ia adalah sebahagian daripada rantaian yang membentuk sebuah institusi yang lebih besar, iaitu negara, titah Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.

Baginda bertitah jika sesebuah institusi itu tidak ditadbir urus dengan baik, nescaya ia akan runtuh.

“Beta yakin, apabila warga sesebuah institusi mempunyai jati diri dan nilai keperibadian yang tinggi sebagai pegangan, mereka akan memandu serta membentuk sistem tadbir urus yang baik bagi institusi tersebut.

“Ini secara langsung akan membendung kemerosotan nilai dan standard dalam sesebuah institusi untuk memastikan ia terus kukuh serta dinamik mengikut keperluan dan keadaan semasa,” titah baginda pada Majlis Syarahan Canselor Tuanku Muhriz di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, mantan Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dato’ Sri Dr Zeti Akhtar Aziz menyampaikan syarahan bertajuk Building Sustainable Institutions: Good Governance Matters.

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan itu bertitah kelestarian melalui tadbir urus yang baik akan menjamin institusi yang berada di bawah tanggungjawab penyeliaan dan penguatkuasaannya berfungsi mengikut matlamat penubuhan, berlandaskan piawaian, peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa.

“Komitmen setiap warga perlu untuk memperteguhkan serta memelihara kelestarian setiap institusi yang menjadi tunjang kepada kegemilangan sesebuah negara.

“Setiap organisasi sama ada institusi awam, swasta atau persendirian perlu menerima kepentingan isu kelestarian, bukan sahaja untuk memastikannya terus kekal relevan, tetapi turut mempunyai kelangsungan untuk melahirkan kepimpinan dan warga berkualiti yang berpegang teguh kepada nilai-nilai murni yang luhur seperti berintegriti, bersopan santun dan berakhlak mulia,” titah baginda.

Baginda berharap agar siri syarahan yang julung kali diadakan itu akan terus memperkayakan korpus ilmu yang dapat memberi manfaat besar dan positif kepada kehidupan masyarakat di Malaysia dan dunia, melalui perkongsian ilmu yang meluas oleh tokoh serta sarjana ternama.

Turut hadir pada syarahan tersebut adalah DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hassan.ukmnewsportal-bm
2

4

3