Institut Sel Fuel Anjur Simposium Kebangsaan Pertama


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 2 Mei 2019 – Institut Sel Fuel Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Persatuan Tenaga Hidrogen Malaysia (MAHE) buat pertama kalinya telah menganjurkan Symposium on Fuel Cell and Hydrogen Technology 2019 (SFCHT2019) yang telah menghimpunkan 79 peserta dari Malaysia, Indonesia, Brunei, Filipina dan India.

Simposium yang diadakan selama dua hari itu di sebuah hotel di Bandar Baru bangi membincangkan isu-isu berkaitan pemanasan global yang telah menyebabkan perubahan iklim yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Bertemakan Melewati Sumber Kuasa Lestari, ia mencerminkan usaha global secara berterusan untuk mengurangkan jejak pelepasan karbon dari sumber penjana kuasa.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dato’ Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, simposium yang dianjurkan itu adalah satu platform penting dalam usaha untuk mengembangkan lagi bidang sel fuel dan tenaga hidrogen di Malaysia.

“Saya yakin melalui sesi pembentangan dan perbincangan yang telah diadakan akan menghasilkan pelbagai idea baru dan cambahan ilmu bukan sahaja dalam bidang sel fuel dan tenaga hidrogen, malah memberi input baru dalam usaha kita untuk mengurangkan pencemaran alam sekitar melalui penggunaan sumber tenaga alternatif yang bersih dan bebas karbon,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Penutup SFCHT2019, di hotel tersebut baru-baru ini.

Katanya, potensi ruang kerjasama merentas institusi dan industri baik dari dalam mahupun luar negara dapat dikenalpasti melalui penganjuran simposium tersebut.

“Hal ini secara tidak langsung menguatkan jaringan kerjasama UKM dan MAHE dengan universiti atau organisasi luar dan seterusnya menaikkan lagi nama UKM bukan sahaja di peringkat nasional, malah juga di persada global,” ujarnya.

Simposium tersebut turut memberi peluang kepada para penyelidik dan pengamal industri untuk menerokai pelbagai sumber tenaga berkelepasan sifar yang merangkumi pelbagai jenis teknologi yang menggunakan hidrogen dan sumber tenaga boleh diperbaharui.