IPI Jalinkan Kerjasama dengan University of Chemistry and Technology, Prague


Oleh Siti Farwani Muhamad
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 25 Mac 2019 – Institut Perubahan Iklim (IPI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuka langkah baharu apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan University of Chemistry and Technology (UCT) Prague, Czech Republik, baru-baru ini.

Memorandum itu ditandatangani bagi mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak dalam bidang penyelidikan, perkongsian penerbitan, pertukaran staf akademik dan hal berkaitan dengan penyelidikan sains.

Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Prof Dato’ Dr Imran Ho Abdullah berkata, kerjasama itu adalah sangat bermakna kerana UKM menjadi institusi pertama yang berkolaborasi secara rasmi dengan UCT.

“UKM bersedia untuk meneruskan kerjasama lebih lanjut kerana UKM akan menjadi rakan usaha sama pertama UCT dari Asia Tenggara dan mungkin juga ASIA,” katanya ketika berucap di Majlis MoU tersebut di Bilik Majlis, Bangunan Pentadbiran di sini.

IPI melalui Pusat Sains Angkasa (ANGKASA) juga telah terlibat secara aktif dalam penubuhan rangkaian kerjasama antarabangsa untuk melanjutkan agenda penyelidikannya dalam bidang sains angkasa dan antara pengalaman mereka adalah bekerjasama dengan University of Carterbury, New Zealand, Science Institute of University of Iceland (SIUI) dan National Institute of Polar Research (NIPR).

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Rektor Perhubungan Luar dan Komunikasi UCT, Prof Dr Pavel Matejka, Pengarah IPI, Prof Dr Nizam Mohd. Said dan Ketua Pusat Sains Angkasa, IPI, Prof Ir Dr Mendeep Singh Jit Singh.