IPT Perlu Lakukan Perubahan Dengan Keperluan Semasa


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 12 Jan 2018 – Semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini perlu melakukan perubahan selaras dengan Revolusi Industri 4.0 kerana bidang pendidikan adalah sangat besar dan mencabar.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata, kementerian akan memperkenalkan dasar di mana semua IPT dibenarkan menawar 30 peratus daripada kurikulum yang bersifat boleh lentur dan organik melalui tiga pedagogi iaitu heutagogi, paragogi dan sibergogi.

Katanya, IPT perlu berusaha dan tidak boleh berada di takuk lama kerana industri revolusi 4.0 membawa kepada perubahan malah kurikulum juga perlu diubah selari dengan peredaran semasa

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Amanat Menteri Pendidikan Tinggi 2018 yang bertemakan Pendidikan Tinggi 4.0: Ilmu, Industri, Insan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Beliau berkata sudah tiba masanya pendidikan tinggi menggunakan kaedah baru dalam pentaksiran dan penilaian pelajar memandangkan perkara tersebut bukan lagi melalui peperiksaan, sebaliknya pensyarah perlu memikirkan kaedah lain untuk menilai pelajar.

Pelajar dan pensyarah juga tidak lagi hanya bergantung kepada kelas untuk sesi pengajaran dan pembelajaran selain penggunaan teknologi yang ada untuk menyampaikan ilmu dengan konsep ilmu tanpa sempadan, jelas beliau.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali bekata, universiti perlu memastikan ia sentiasa releven dengan menawarkan nilai yang kukuh kepada masyarakat dalam konteks revolusi industri 4.0.

Beliau berkata, sudah tiba masanya universiti membuat perubahan ini dengan serius selain  penyelidikan-penyelidikan yang dihasilkan mesti menepati industri dan insan yang akan dikeluarkan.

“Perubahan ini dibuat bukan kerana universiti tidak releven tetapi kami mesti menyemak semula dan memastikan apa yang kami tawarkan adalah sesuatu yang bernilai untuk masyarakat sejajar dengan perubahan semasa,” katanya.