iWarner: Sistem Terbaru Amaran Banjir


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 25 Nov 2017 – Intelligent Weather Station and Flood Warning System (iWarner) yang dibangunkan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman adalah sistem pintar untuk memberi amaran jika berlakunya banjir di satu-satu kawasan.

Prof Dr Mohd Ekwan berkata sistem itu telah dibangunkan pada tahun 2015 selepas mendapat geran top down daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi penyediaan kertas mengenai banjir besar tahun 2014 yang berlaku di Kuala Krai, Kelantan.

“Daripada geran tesebut, kita mendapat kerjasama daripada industri dan juga stakeholders yang melibatkan National Disaster Agency Malaysia (NADMA), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Geran ini melihat kepada dua aspek iaitu penyediaan sistem kawalan bencana khususnya banjir dan sistem amaran terhadap bencana,” jelasnya.

Beliau berkata sistem iWarner itu timbul hasil daripada masalah banjir yang sentiasa berlaku di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak selama hampir 35 tahun.

“Jadi, iWarner ini dibuat seiring dengan reka bentuk kolam tadahan banjir yang saya buat pada tahun 2014 yang berupaya menguruskan lebihan air banjir terutamanya di kawasan Kuala Nerus,” ujarnya.

Katanya iWarner telah dibina bersama kumpulan penyelidik daripada UKM khususnya di Pusat Pengajian Pembangunan Sosial dan Persekitaran dan pensyarah-pensyarah Fakulti Teknologi Maklumat dan Institut Penyelidikan Alam Sekitar Pantai Timur, UniSZA.

“iWarner telah pun dipasang di beberapa kawasan terutamanya di kampus UniSZA, sekitar Kuala Nerus dan beberapa kawasan di Tawau, Sabah,” katanya.

Beliau berkata untuk masa hadapan, iWarner akan digabungkan dengan sistem maklumat banjir nasional yang boleh dicapai melalui sistem yang dibangunkan oleh NADMA dan JPS, dan akan melibatkan penambahan dari segi sensor terutramanya sensor seperti kelembapan, luahan air dan kualiti air banjir.

“Sekarang ini kita bergantung kepada dasar kerajaan terutamanya pemegang taruh. Kita berharap sistem ini boleh dipasang di kawasan-kawasan lain yang terdedah dengan banjir dan diberikan penambahbaikan dari segi reka bentuk agar ia lebih portable,” katanya.

Pengguna boleh mengakses iWarner melalui telefon pintar masing-masing secara dalam talian melalui laman web iWarner di www.iwarner.robopro.org.

“Ciri utama sistem iWarner adalah ia mampu memberikan maklumat lebih awal kepada penduduk yang terdedah kepada bencana banjir dan memberikan mereka peluang untuk berpindah ke lokasi yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

“Sistem ini tak mahal dan mempunyai ciri-ciri keselamatan dan juga spesifikasi yang tinggi dalam menghadapi aliran air banjir,” jelasnya.

Katanya, beliau berharap agar pihak pemegang taruh dapat menggunakan sistem itu dan mengambil alih sistem tolok banjir manual kerana ia bukan sahaja boleh digunakan di kawasan bandar, malah juga di kawasan luar bandar yang mempunyai capaian internet.