Jangan Pandang Rendah Terhadap Literasi Kewangan – Naib Canselor


Oleh Nur Elida Najwa Mohd Subri
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 15 NOVEMBER 2018 – Generasi muda pada hari ini jangan memandang rendah terhadap kepentingan literasi kewangan, kata Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali.

Beliau berkata, menurut the Standard & Poor’s Ratings Services, kesan kadar literasi yang rendah akan menyebabkan seseorang individu membuat keputusan yang kurang tepat dalam pengurusan kewangan berkaitan simpanan, pelaburan, pinjaman dan lain-lain.

“Kajian daripada The Global Financial Literacy Survey mendapati bahawa kadar literasi kewangan di negara kita hanya pada kadar 36 peratus, berbanding negara jiran seperti Singapura 59% dan Myanmar 52%,” katanya semasa program The 4th MFPC National Financial Planning Tournament 2018 di Pusat Latihan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di sini baru-baru ini.

Katanya, program tersebut (MFPC National Financial Planning Tournament) telah membuktikan bahawa pihak industri dengan sokongan institusi pendidikan tinggi sentiasa bertanggungjawab memastikan ilmu kewangan tidak terhad kepada practitioners sahaja, tetapi juga kepada segenap lapisan masyarakat.

“Kesediaan UKM menggalas tanggungjawab ini adalah bukti iltizam serta hasrat UKM untuk memasyarakatkan kepakaran serta ilmu pengetahuan supaya impaknya bukan hanya disampaikan melalui kuliah semata-mata, tetapi juga untuk dikongsi bersama masyarakat umum termasuklah pihak industry,” jelasnya.

Turut hadir ke program itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Shariah MFPC, Prof Datuk Dr Syed Othman Alhabshi dan Presiden MFPC, Michael Kok Fook On.