Jurnal Adalah Aset Penting Pelajar – Naib Canselor


Oleh Fikri Abdullah

Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 8 Mac 2019 – Pelajar pascasiswazah digalakkan untuk menerbitkan jurnal berimpak tinggi dalam melakukan kajian peringkat Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD), kata Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor.

Beliau berkata, kajian yang dilakukan oleh pelajar pascasiswazah perlu berimpak tinggi sama ada penemuan penyelidikan, ketepatan data dan mencapai tahap Q1 iaitu jurnal dalam kategori paling berkualiti berbanding jurnal-jurnal yang lain.

“Kajian yang dilakukan dan diterbitkan menjadi jurnal adalah aset berharga buat pelajar. UKM menyediakan platform terbaik termasuk penyelia dan geran penyelidikan dalam memastikan anda semua (pelajar) bergraduasi pada masa yang ditetapkan (graduate on time),” katanya semasa Hari Informasi Pascasiswazah (HIP), Semester 2 Sesi Akademik 2018/2019 di Dewan Gemilang, baru-baru ini.

Beliau turut menyeru agar sebarang cadangan penambahbaikan berkaitan UKM disalurkan kepadanya untuk tindakan lanjut.

HIP yang berlangsung di Dewan Gemilang UKM turut dihadiri oleh Timbalan-timbalan Naib Canselor dan Pengarah Pusat Siswazah, Prof Dr Andanastuti Muchtar.

Antara program yang diadakan ialah bicara tuntas yang memperkenalkan program pengajian yang ditawarkan, fasiliti dan kemudahan yang disediakan serta barisan pengurusan tertinggi UKM kepada pelajar pascasiswazah.