Karnival Konvokesyen Hubungkan Mahasiswa dengan Organisasi Luar dan Masyarakat


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 2 November 2019 – Karnival Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-47 yang diadakan bermula 31 Oktober hingga 5 November adalah wadah yang terbaik yang dapat menghubungkan mahasiswa bukan sahaja dengan organisasi luar tetapi melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata karnival ini berjaya memartabatkan imej UKM di mata masyarakat sebagai sebuah universiti yang mampu melahirkan para intelektual berinovasi, berdedikasi, berketerampilan, berwawasan dan berkepimpinan tinggi.

“Saya berbangga kerana karnival ini 100 peratus diuruskan oleh para pelajar. Tiga pesanan saya kepada anda semua ialah berusaha dengan gigih dan pintar, menerapkan dan mempraktikkan ciri-ciri kepimpinan yang mampan dan jangan lupa bersyukur dan berterima kasih kepada tuhan serta kepada mereka yang mendidik kita menjadi terpelajar,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis perasmian Karnival Konvokesyen UKM Ke-47, baru-baru ini.

Katanya, kejayaan mahasiswa hari ini adalah jasa dan dorongan UKM mendidik para graduannya untuk menjadi profesional, teknokrasi dan usahawan cemerlang yang menjadi tonggak pembinaan negara bangsa.

“Saya ingin menyeru kepada anda semua (pelajar) agar berusaha dengan gigih dan pintar. Kalau kita nak capai kejayaan, tidak ada jalan pintas untuk kita berjaya. We need to work hard and work smart kalau nak jadi orang yang berilmu.

“Berjalanlah dengan megah sebagai alumni UKM yang bertaqwa dan berilmu. Jika berjaya, jangan dongak kelangit, tetapi sentiasalah menunduk ke bawah,” katanya.

Karnival konvokesyen itu diadakan bagi meraikan para graduan yang menamatkan pengajian di samping memberi penghargaan atas kecemerlangan mereka.